Images
  • singapore msia
    (Gambar: Henning Gloystein/Reuters)

Pertikaian maritim: S'pura tidak bersetuju dengan saranan M'sia untuk 'berhenti hantar aset ke kawasan dipertikai'

SINGAPURA: Singapura tidak bersetuju dengan saranan Malaysia agar kedua-dua negara "berhenti menghantar aset-aset ke kawasan yang dipertikaikan" mulai tengah malam pada 8 Disember, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Jumaat (7 Dis).

Jawapan balas dari MFA itu dikeluarkan tidak lama selepas Malaysia membuat saranan tersebut.

Menteri Ehwal Luar Malaysia Saifuddin Abdullah pada Jumaat (7 Dis) berkata bahawa Malaysia sudah menyarankan untuk mengadakan satu mesyuarat dengan Singapura bagi menghuraikan isu sempadan maritim antara kedua-dua negara.

Berikut ini adalah kenyataan penuh daripada MFA: 

Singapura sudah menerima nota diplomatik Malaysia pada 7 Disember 2018 dan ia akan memberi respons apabila tiba masanya.

Singapura terus bersedia untuk membincangkan isu ini dengan Malaysia secara membina dalam semangat memulihara hubungan dua hala kami yang penting.

Bagaimanapun, Singapura tidak bersetuju dengan saranan Malaysia agar kedua-dua negara berhenti menghantar aset-aset ke kawasan yang dipertikaikan.

Seperti mana Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan memberitahu Menteri Malaysia Saifuddin Abdullah pada 5 Disember 2018, kapal-kapal Kerajaan Malaysia sudah berulang kali menceroboh Perairan Wilayah Singapura menyusuli apa yang dikatakan sebagai peluasan had pelabuhan bagi Pelabuhan Johor Bahru pada 25 Oktober 2018.

Kapal-kapal Kerajaan Malaysia harus berhenti melakukan pelanggaran provokatif terhadap kedaulatan Singapura dan kembali kepada status quo seperti sebelum 25 Oktober 2018, tanpa sebarang prasangka terhadap kedudukan masing-masing berhubung tuntutan sempadan maritim di kawasan itu.

Percubaan untuk mengada-adakan fakta di lapangan tidak akan mengukuhkan kes guaman Malaysia dan ia tidak akan membantu menghuraikan isu-isu sempadan maritim secara aman.  

- CNA/AI/ai

Top