Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pertikaian Maritim: 'Risiko bertambah buruk tidak boleh dipandang ringan', kata Chan Chun Sing sambil menyeru semua pihak bertenang

Dengan kemungkinan berlakunya kemalangan, "risiko keadaan bertambah buruk tidak boleh dipandang ringan", kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing hari ini (8 Dis), dalam komen pertamanya tentang pertikaian maritim yang kini berlaku antara Singapura dengan Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Dec 2018 01:44PM Dikemas Kini : 08 Dec 2018 11:09PM

SINGAPURA: Dengan kemungkinan berlakunya kemalangan, "risiko keadaan bertambah buruk tidak boleh dipandang ringan", kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing hari ini (8 Dis), dalam komen pertamanya tentang pertikaian maritim yang kini berlaku antara Singapura dengan Malaysia.

"Keadaan sebenar tegang. Kapal-kapal berada dalam jarak yang dekat antara satu sama lain dan kami tahu beberapa kapal dilengkapi senjata, oleh itu risiko keadaan bertambah buruk tidak boleh dipandang ringan. Kemalangan mungkin berlaku.

"Kami menggesa semua pihak untuk kembali kepada status quo sebelum 25 Oktober untuk keadaan kembali reda. Dan ada cara-cara untuk melakukannya di bawah undang-undang antarabangsa tanpa prejudis kepada Malaysia," kata Encik Chan kepada pihak media selepas satu acara di Kelab Masyarakat Buona Vista.

Encik Chan berkata Singapura mengalu-alukan dialog untuk mencari satu "penyelesaian cepat dan muhibah" kepada isu-isu tersebut. Beliau menambah, sekiranya persetujuan gagal dicapai, Singapura terbuka untuk mencari jalan keluar menerusi satu "prosedur penyelesaian pertikaian pihak ketiga antarabangsa yang wajar".

Encik Chan turut menggesa supaya situasi di lapangan kembali tenang dahulu.

Mengambil perhatian fakta-fakta daripada situasi sebenar, beliau berkata, Angkatan Laut dan Polis Pengawal Pantai Singapura meronda kawasan-kawasan di sekitar Tuas dan perairan dekat Tuas selama berdekad-dekad.

"Tiba-tiba Malaysia menerbitkan satu peta baru dengan had pelabuhan baru. Tiada rundingan, tiada perbincangan. Mereka menuntut lebih daripada apa yang dituntut pada 1979, yang tidak disetujui sesiapa.

"Mengerahkan kapal-kapal kerajaan Malaysia ke kawasan itu yang tidak konsisten dengan laluan ikhlas; melakukan kegiatan yang melanggar undang-undang dan tidak dibenarkan di bawah undang-undang antarabangsa; enggan beredar; kemudian menyarankan supaya kapal-kapal Singapura meninggalkan kawasan itu supaya rundingan boleh diadakan. Itu tidak wajar," tambah Encik Chan.

Mengerahkan lebih banyak kapal, menggunakan kekerasan dan cuba merubah fakta di perairan tidak akan mengukuhkan tuntutan mereka, kata Encik Chan.

Meskipun Singapura tidak ingin membuat spekulasi tentang pertimbangan domestik dan dua hala Malaysia, Encik Chan berkata "kami pernah melihat coraknya sebelum ini", merujuk kepada tuntutan sepihak Malaysia ke atas Pedra Branca dan perairan dekat Tuas.

"Itu mencetuskan pertikaian yang berlanjutan selama berdekad-dekad. Pasukan-pasukan tentera dikerahkan dan berlaku konfrontasi di laut. Kami dibesarkan dalam generasi itu. Malah kami ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan itu tetap tidak menyelesaikan isu itu sepenuhnya. Bahkan hari ini, kami masih cuba mengatasi isu ini. Ia sudah mencemar hubungan dua hala kami," katanya.

Encik Chan berkata bahawa barisan pemimpin muda Malaysia yang beliau temui sejak Mei lalu, semua memberikan isyarat ke arah kerjasama lebih kukuh dan bersetuju bahawa persaingan dengan dunia luar adalah lebih utama berbanding antara kedua-dua negara itu.

"Saya harap tindakan mereka bertepatan dengan kata-kata mereka," tambah Encik Chan.

Komen Encik Chan dibuat selepas Singapura menyatakan semalam (7 Dis) bahawa ia tidak bersetuju dengan cadangan Malaysia supaya kedua-dua negara "berhenti" menghantar aset ke kawasan yang disifatkan Malaysia sebagai "kawasan dipertikaikan".

Berhubung nota diplomatik dari Malaysia itu, seorang jurucakap dari Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) mengatakan bahawa ia "akan memberi respons apabila tiba masanya".

Komen Encik Chan tentang isu itu juga dikeluarkan sehari selepas Menteri Pertahanan Ng Eng Hen dan Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli, memberi pandangan masing-masing.

Memberi amaran kepada kapal-kapal Malaysia yang mencerobohi perairan Singapura supaya beredar, Encik Ng dalam catatan Facebooknya menulis: "Rakyat Singapura cinta akan kedamaian, tetapi saya dengan tegas memberi peringatan kepada mereka yang menceroboh supaya meninggalkan perairan wilayah Singapura."

Encik Masagos pula menyifatkan tindakan Malaysia sebagai "langkah sepihak yang dilakukan secara tiba-tiba" dan menambah: "Jika sesiapa melanggar undang-undang dan perjanjian kami, mengancam kedaulatan kami, kami akan dengan tegas mempertahankannya."

Pada Khamis (6 Dis), Singapura mengumumkan ia telah memperluaskan had pelabuhannya dekat Tuas memandangkan "perkembangan-perkembangan provokatif" akhir-akhir ini, dan menyatakan ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan kapal-kapal kerajaan Malaysia di perairannya.

Terdapat 14 pencerobohan oleh kapal-kapal kerajaan Malaysia di perairan wilayah Singapura sepanjang dua minggu lalu, kata Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan dalam satu sidang media pada Khamis (6 Dis).

Pencerobohan itu berlaku selepas Malaysia melanjutkan had pelabuhan Johor pada 25 Okt, yang mencerobohi perairan Singapura dekat Tuas.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan