Images
  • tanglin road check
    Antara langkah keselamatan di kawasan Tanglin Rd (Gambar: Mediacorp)

Perniagaan sekitar St Regis, Shangri-La jatuh hingga 70% semasa Sidang Trump-Kim

SINGAPURA: Para peniaga di kawasan Tanglin-Orchard yang diwartakan sebagai kawasan acara khas menghela nafas lega hari ini. Ini setelah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un pulang ke negara masing-masing pada Selasa (12 Jun) selepas mengadakan sidang bersejarah di sini.

Langkah-langkah keselamatan yang diperketatkan sepanjang tempoh tiga hari menjejas perniagaan di kawasan tersebut, dengan ada yang menjunam sehingga 70 peratus.

Penyelia kedai cetak gambar FotoHub yang terletak di Forum the Shopping Mall, Encik Jack Ang, 35 tahun, mendakwa penjualannya terjejas sekitar 70 peratus.

"Pelanggan bimbang jika (pihak polis) akan menyekat jalan raya pada bila-bila masa, terutamanya pelanggan yang memandu," kata beliau.

Sebahagian Tanglin Road dan Orchard Road, yang merangkumi kawasan Hotel St Regis dan Shangri-La di mana Encik Kim dan Encik Trump menginap, diwartakan sebagai kawasan acara khas sejak Ahad.

Berdasarkan warta tersebut, sesiapa yang berada di dalam atau ingin memasuki kawasan tersebut akan diperiksa oleh pegawai keselamatan. Mereka juga tidak dibenarkan membawa masuk bahan larangan. Ini termasuk bahan letupan, senjata dan dron.

Keadaan sama juga dilaporkan di Tanglin Mall, di mana seorang penjual di kedai Home-Fix, yang hanya ingin dikenali sebagai Darwis, berkata penjualan hariannya merosot "sekitar S$500 hingga S$1,000". Ramai pelanggan pula menukar tarikh untuk mengambil pembelian mereka dari kedai itu.

Di sebuah klinik kecantikan di Tudor Court pula, tiada pelanggan yang datang masuk.

Seorang pekerja yang hanya ingin dikenali sebagai Radiah, 44 tahun, berkata: "Kebanyakan pelanggan menukar janji temu. Kita selalunya ada beberapa pelanggan yang datang masuk (walk-ins), tapi kini tiada langsung kerana lengang di luar akibat sidang itu."

Sungguhpun demikian, sidang bersejarah itu merupakan durian runtuh bagi sesetengah kedai dan peniaga.

Di restoran McDonalds di Forum, "tiba-tiba begitu ramai wartawan di sini pada waktu pagi yang membuat banyak pesanan, kita tidak menjangkakannya sama sekali," menurut seorang pekerja yang enggan memberikan namanya.

Selain hasil penjualan yang terjejas, langkah keselamatan yang diperketat turut menjejas para pekerja, yang perlu berjalan lebih jauh ke tempat kerja.

Cik Katherine Yap, yang berusia 60-an tahun, berkata beliau biasanya turun bas di hadapan Hotel St Regis, di mana beliau bekerja sebagai seorang penolong kedai butik. Namun disebabkan oleh penutupan perhentian bas, beliau perlu berjalan "jauh dari Hotel Orchard" dan ini "amat memenatkan".

Namun begitu, beliau juga menambah: "Sidang Puncak Kim-Trump ini menarik, sesuatu yang baru. Saya suka melihat kenderaan iringan dan apa yang belaku." 

- TODAY/TQ/tq

Top