Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pernah dihimpit pelbagai dugaan; Mustafa Mohd kini diangkat sebagai 'Ayah Qudwah Hasanah'

Dugaan demi dugaan datang menimpa sejak Encik Mustafa Mohd, 69 tahun, yang bergelar ayah, 32 tahun lalu. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dugaan demi dugaan datang menimpa sejak Encik Mustafa Mohd, 69 tahun, yang bergelar ayah, 32 tahun lalu. 

Cahaya mata pertamanya dilahirkan dengan beberapa masalah kesihatan dan terpaksa menjalani pembedahan jantung pada usia tiga tahun.

Arwah isterinya pula menghidapi beberapa penyakit kronik seperti kencing manis serta masalah pergerakan dan perlu dijaga sepenuhnya sehinggalah beliau meninggal dunia pada Disember tahun lalu.

Itulah antara cebisan pengalaman pahit yang perlu diharungi Encik Mustafa atau lebih dikenali dengan nama Mos Zay. Beliau diangkat sebagai 'Ayah Qudwah Hasanah' atau 'Ayah Contoh Terbaik' dalam satu majlis anugerah tahunan anjuran Persatuan Ain hari ini (16 Julai).

Mendengar tentang kisah perjalanan hidupnya, pasti ramai yang tidak boleh meragui kemenangan beliau itu. Namun bagi Encik Mos Zay, ia merupakan sesuatu yang tidak dijangka-jangkakan sama sekali.

"Sebelum saya datang ke sini, saya sudah niat dalam hati, 'Saya tidak akan menang!'" kongsi beliau kepada BERITAMediacorp.

Namun ternyata, kisah beliau dalam menggalas pelbagai peranan - sebagai seorang ayah, suami dan juga ibu - memberi kesan terbesar terhadap para pengadil tahun ini, lebih-lebih lagi dengan keadaannya yang juga mengalami beberapa masalah kesihatan seperti pembekuan darah serta masalah daya penglihatan.

"Saya orang biasa sahaja tetapi dengan pertolongan Allah, yang memberi saya semangat, walaupun dalam keadaan sakit tetapi saya dapat memberi semangat untuk keluarga saya."ujar Encik Mos Zay.

Malah, beliau juga menjadi sumber semangat dan hiburan kepada para pesakit - antaranya di Institut Kesihatan Mental dan Rumah Tumpangan Warga Tua Jamiyah - selain menjadi sukarelawan ‘Citizens on Patrol’ bagi mencegah jenayah.

Sungguhpun sibuk memikul pelbagai tanggungjawab itu, soal pendidikan anak-anak tidak pernah diabaikan. Harapan beliau melihat anak-anaknya cemerlang dalam pendidikan terlaksana apabila anak sulungnya berjaya meraih ijazah dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU), sementara anak bongsunya pula kini menuntut di Institut Pengurusan Singapura (SIM).

(Gambar-gambar: Hamidah Aidillah Mustafa)

PEMARKAHAN BARU BAGI ANUGERAH TAHUN INI

Anugerah Ayah Qudwah Hasanah yang diperkenalkan pada 2012 memberikan pengiktirafan kepada para ayah yang berjaya membentuk dan membimbing keluarga mereka ke arah kecemerlangan.

Namun buat julung-julung kalinya tahun ini, pihak penganjur memperkenalkan pemarkahan bonus bagi para calon yang menghidapi penyakit atau mempunyai ahli keluarga lain yang sakit, seperti Encik Mos Zay.

Semasa berucap di majlis tadi, Speaker Parlimen Halimah Yacob yang juga Penasihat Persatuan Ain mengalu-alukan penilaian tambahan tersebut kerana golongan bapa sedemikian "menghadapi cabaran lebih berat daripada biasa".

"Pengorbanan yang mereka curahkan untuk keluarga, pada dasarnya merupakan suatu amanah sebagai ketua keluarga, namun ia tidak seharusnya dilupakan begitu sahaja," kata Cik Halimah.

Encik Mos Zay membawa pulang hadiah wang tunai $5,000 serta Anugerah Ayah Qudwah Hasanah. Dua finalis lain menerima $500 setiap seorang.  

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan