Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permohonan S'pura kepada Hong Kong untuk berkas Jho Low ditolak pada 2016

 Low dipercayai melarikan diri dari Macau untuk ke destinasi yang tidak diketahui. Low sebelum ini berada di Hong Kong.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Jul 2018 05:50PM Dikemas Kini : 11 Jul 2018 09:12PM

SINGAPURA: Permohonan yang dibuat kepada pihak berkuasa Hong Kong pada April 2016 supaya memberkas Jho Low, seorang ahli perniagaan Malaysia yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ditolak. Ini menurut polis pada hari Rabu (11 Jul).

Jho Low, yang nama sebenarnya Low Taek Jho, dikehendaki pihak berkuasa Malaysia bagi satu siasatan yang sedang dijalankan berhubung skandal dana 1MDB. Low dipercayai melarikan diri dari Macau untuk ke destinasi yang tidak diketahui. Low sebelum ini berada di Hong Kong.

Pasukan Polis Singapura mengeluarkan satu kenyataan pada Rabu (11 Jul) untuk menyangkal beberapa laporan yang mendakwa bahawa Singapura tidak membuat sebarang permohonan kepada Hong Kong untuk memberkasnya dan mengekstradisinya ke Malaysia. Laporan-laporan itu tidak benar, menurut polis.

"Kami mengeluarkan waran tangkap ke atas Low pada bulan April 2016 menyusuli siasatan dan dakwaan-dakwaan terhadapnya berhubung kesalahan yang ada kaitan dengan pelaburan wang haram dan secara tidak jujur menerima harta yang dicuri.

Bertindak atas maklumat yang diterima, pihak berkuasa Singapura mengemukakan permohonan kepada Hong Kong pada bulan yang sama untuk memberkas Low, kata polis. Bagaimanapun menurut polis, permintaan Singapura itu ditolak.

Pihak berkuasa Singapura juga sudah meminta INTERPOL supaya mengeluarkan Notis Merah terhadap Low. Notis Merah itu adalah permohonan yang dibuat oleh sebuah negara untuk mengesan dan memberkas seseorang berdasarkan waran tangkap yang sah.

Singapura adalah salah satu daripada sekurang-kurangnya enam negara, termasuk Switzerland dan Amerika Syarikat, yang menjalankan siasatan ke atas dakwaan penyalahgunaan dana yang ditubuhkan oleh bekas perdana menteri Malaysia, Najib Razak. Encik Najib didakwa dengan tuduhan pecah amanah dan menyalahgunakan kuasa.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan