Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perjanjian kewangan baru S'pura, Indonesia sokong kemantapan ekonomi

Indonesia dan Singapura menyasarkan untuk mencapai perjanjian kewangan dua hala bernilai AS$10 bilion (S$13.8 bilion), bagi menyokong kemantapan kewangan di kedua-dua negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Oct 2018 07:03PM Dikemas Kini : 12 Oct 2018 12:08AM

BALI: Indonesia dan Singapura menyasarkan untuk mencapai perjanjian kewangan dua hala bernilai AS$10 bilion (S$13.8 bilion), bagi menyokong kemantapan kewangan di kedua-dua negara.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan demikian pada akhir Retreat Para Pemimpin Indonesia-Singapura di Bali, siang tadi (11 Okt).

Ini merupakan retreat pemimpin yang ketiga antara PM Lee dengan Presiden Indonesia Joko Widodo, sekaligus yang terakhir bagi pemimpin Indonesia itu sebelum pilihan raya Presiden pada April depan.

Kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan empat mata sebelum rombongan Singapura mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan sejawatan dari Indonesia.

Retreat sedemikian membantu meningkatkan kerjasama dua hala dan membawa kepada pemeteraian satu siri perjanjian dan projek-projek bersama.

PEMETERAIAN PERJANJIAN DEMI EKONOMI MASING-MASING

PM Lee menarik perhatian, wujud keadaan tidak menentu dalam sekitaran ekonomi luaran yang banyak menjejas pasaran kewangan, termasuk negara-negara dengan asas ekonomi yang kukuh seperti Indonesia.

"Bagi menyokong kemantapan kewangan di negara masing-masing, kita sudah mengarahkan bank pusat kedua-dua negara iaitu MAS dan Bank Indonesia, supaya menyiapkan perjanjian kewangan secepat mungkin," kata PM Lee.

Beliau menambah, perjanjian itu akan berupa satu pakej, melibatkan pertukaran mata wang tempatan dan juga perjanjian membeli balik dolar Amerika.

"Kerjasama itu akan memberikan keyakinan dalam kalangan para pelabur dan meningkatkan kemantapan ekonomi dan pembangunan di rantau ini."

Presiden Jokowi juga berharap pemeteraian perjanjian itu akan meningkatkan kepercayaan para pelabur dari Singapura untuk terus melabur di negaranya.

"Perjanjian ini juga akan menjadi model dan rujukan untuk perjanjian pelaburan pada masa depan," kata Presiden Jokowi.

S'PURA HULUR BANTUAN BAGI MANGSA GEMPA-TSUNAMI SULAWESI

PM Lee turut melahirkan rasa dukacita terhadap rakyat Indonesia yang ditimpa bencana gempa dan tsunami di Sulawesi.

PM Lee berdiri teguh bersama Indonesia ketika masa-masa sukar ini dan melahirkan keyakinan Indonesia akan segera bangkit daripada bencana alam itu, di bawah kepimpinan Presiden Jokowi.

Presiden Jokowi turut menarik perhatian Singapura merupakan salah satu negara yang menawarkan bantuan semasa bencana tersebut. Beliau berterima kasih kepada Singapura dan melahirkan penghargaan atas perpaduan dan salam takziah yang disampaikan.

PM Lee berkata Singapura dan Indonesia sudah mencapai banyak kejayaan bersama sejak beberapa tahun lalu di bawah kepimpinan Presiden Jokowi.

Beliau menambah kedua-dua negara boleh melakukan lebih banyak lagi secara bersama bagi raih manfaat jangka panjang bersama.

PM Lee turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Indonesia dalam menjadi tuan rumah mesyuarat tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia, serta kelancaran pilihan raya parlimen dan presiden Indonesia, tahun depan. 

Sumber : CNA/AA/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan