Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perintah Sekatan ke atas bekas pendakwah dan muridnya satu peringatan bahaya taksub

Masyarakat di sini kata Dr Norshahril bersatu hati dan menolak dengan tegas ajaran yang menggugat kehidupan berbilang agama di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bekas guru agama dan pengikutnya yang dikenakan Perintah Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana menyokong ajaran ganas dan radikal adalah satu peringatan bagi masyarakat agar tidak taksub dan terima bulat-bulat pengajaran seseorang bergelar guru agama.

Zamil Penyelidik ISEAS-Institut Yusof Ishak Dr Norshahril Saat juga percaya masyarakat Melayu/Islam harus mengambil iktibar daripada insiden terbaru itu dan menegaskan lagi pendirian mereka menentang ajaran yang membahayakan keharmonian agama.

Guru agama bebas Murad Mohd Said dan pengikutnya Razali Abas dikenakan Perintah Sekatan (RO) pada bulan Disember dan September tahun lalu.

Murad terus berkhidmat sebagai guru agama bebas meskipun pentauliahannya di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) dibatalkan MUIS.

Justeru, Dr Norshahril Saat berkata penting bagi masyarakat untuk bersikap berjaga-jaga terhadap ajaran ekstrem dan tidak segan bersuara meskipun berdepan dengan seseorang yang dianggap berpengaruh, menggunakan gelaran guru agama.

"Kita juga perlu melihat wacana-wacana dan idea-idea yang diketengahkan, sama ada idea-idea sesuai kepada masyarakat majmuk kita di Singapura. Bagi saya yang penting adalah peranan masyarakat untuk tahu bahawa ajaran ini tidak sesuai di Singapura," menurut Dr Norshahril Saat.

Lantaran itu, Dr Norshahril menarik perhatian pentingnya masyarakat di sini bekerjasama dengan MUIS dan badan-badan lain untuk lebih memahami agama dan dapat membezakan ajaran yang baik dan sebaliknya.

"Kita perlu membina satu masyarakat yang berfikir dan tidak menerima bulat-bulat apa yang diajarkan kepada kita walaupun seseorang itu sangat berpengaruh, mempunyai karisma atau menggunakan gelaran-gelaran seperti ustaz dan sebagainya. Masyarakat kita perlu membezakan ajaran yang baik dan ajaran yang tidak baik. Jadi ini sebenarnya satu peluang bagi kita untuk memikir ulang cara kita memahami agama kita," menurut Dr Norshahril Saat lagi.

Masyarakat di sini kata Dr Norshahril bersatu hati dan menolak dengan tegas ajaran yang menggugat kehidupan berbilang agama di Singapura. 

LAPORAN BERKAITAN: 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan