Images
  • amktc manager
    Bekas pengurus besar AMKTC Victor Wong Chee Meng (Gambar: TODAY)

Perbicaraan AMKTC: Pasangan dituduh rasuah habiskan 'lebih S$4,000' dalam satu malam

SINGAPURA: Seorang bekas pengurus besar Majlis Bandaran Ang Mo Kio (AMKTC) dan seorang pengarah syarikat yang dituduh menyogok beliau untuk mendapatkan kontrak, menghabiskan lebih S$4,000 pada satu malam untuk hiburan, menurut mahkamah pada Khamis (8 Nov).

Bil sebanyak S$4,280 dibelanjakan pada 8 Oktober 2015 untuk pelbagai kegiatan hiburan malam seperti di bilik karaoke.

Encik Tay Eng Chuan, seorang rakan niaga pengarah syarikat tertuduh Chia Sin Lan, dihadapkan ke mahkamah pada Khamis untuk dibicara berhubung rekod aliran wang tunai yang beliau catat bagi 19-NS2 Enterprise - satu daripada dua syarikat kepunyaan Chia.

Chia dihadapkan 54 pertuduhan rasuah kerana didakwa menawarkan wang suap bernilai S$107,000 kepada Victor Wong Chee Meng antara Disember 2014 hingga September 2016. Rasuah ini antara lain dibuat dalam bentuk hiburan malam, wang tunai dan diskaun pembelian kereta.

Majlis bandaran tersebut menganugerahkan kontrak bernilai jutaan dolar kepada 19-ANC Enterprise dan 19-NS2 Enterprise, dua syarikat kepunyaan Chia yang membuat tender dan lakukan kerja-kerja pembaikan dan perhiasan bagi AMKTC.

Timbalan Peguam Negara Kanan Jiang Ke-Yue menghabiskan banyak masa pada Khamis menyoal Encik Tay, satu daripada lebih 20 saksi, berhubung catatan rekod perbelanjaan kedua-dua lelaki terlibat.

Bukti Encik Tay berhubung bil S$4,280 berlainan daripada apa yang diberitahu Chia kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) - yang berkata ia untuk beberapa acara hiburan.

Ditanya bagaimana pasangan lelaki itu boleh menghabiskan begitu banyak wang, Encik Tay berkata mereka mungkin membeli berbotol-botol arak untuk diminum pada kemudian hari. Beliau berkata Chia pernah memberitahu bahawa mereka kadangkala membuat begitu.

REKOD PEKERJA DISOAL

Pihak pendakwa raya membentangkan kepada Encik Tay beberapa catatan rekod berhubung apa yang dikatakan adalah pekerja 19-NS2.

Encik Tay memberitahu mahkamah, satu nama yang kerap muncul adalah orang bernama Encik Lee, iaitu rakan Chia. Encik Lee disenaraikan sebagai pekerja 19-NS2 walhal beliau sebenarnya pemandu teksi, dedah Encik Tay.

Encik Tay juga menjelaskan jumlah S$700 dan S$750 yang dibayar oleh seorang pekerja asing yang digajikan 19-NS2. Menurut Encik Tay, jumlah gaji pekerja itu dinaikkan dalam rekod agar beliau boleh memengang pas pekerja S-Pass, namun beliau perlu membayar balik wang tambahan itu kepada syarikat.

Perbicaraan diteruskan pada Jumaat (9 Nov). 

- CNA/TQ/tq

Top