Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perbicaraan AHTC: Pembayaran S$60 juta direkod secara manual, menurut KPMG

Bayaran bernilai sekitar S$60 juta oleh Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) direkod secara manual dan bukan melalui catatan dalam akaun belum bayar. Ini satu "kelemahan kawalan sangat ketara", kata pengarah eksekutif KPMG Owen Hawkes hari ini (11 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan AHTC: Pembayaran S$60 juta direkod secara manual, menurut KPMG

(Dari kiri) AP Parti Pekerja, Pritm Singh, Low Thia Khiang dan Sylvia Lim meninggalkan Mahkamah Tinggi pada 8 Oktober 2018. (Gambar: Koh Mui Fong/TODAY)

Diterbitkan : 11 Oct 2018 07:07PM Dikemas Kini : 11 Oct 2018 07:13PM

SINGAPURA: Bayaran bernilai sekitar S$60 juta oleh Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) direkod secara manual dan bukan melalui catatan dalam akaun belum bayar. Ini satu "kelemahan kawalan sangat ketara", kata pengarah eksekutif KPMG Owen Hawkes hari ini (11 Okt).

Encik Hawkes disoal peguam bela Leslie Netto pada hari kelima kes AHTC dan Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol (PRPTC) dibicarakan.

Dua tuntutan mahkamah dikemukakan oleh dua majlis bandaran terhadap tiga Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim, Low Thia Khiang dan Pritam Singh.

Defendan lain adalah: ahli majlis bandaran AHTC, Chua Zhi Hon dan Kenneth Foo; para kakitangan bekas ejen pengurusan AHTC, yang memegang jawatan dalam AHTC, How Weng Fan dan Danny Loh; dan ejen pengurusannya, FM Solutions and Services (FMSS).

Menjawab pertanyaan Encik Netto, yang mewakili FMSS dan dua kakitangannya, Encik Hawkes mendedahkan bahawa AHTC menahan bayaran S$250,000 daripada yuran FMSS atas kelemahan yang dikesan dalam laporan 2015 oleh Pejabat Peguam Negara.

Laporan itu mendapati apa yang disifatkannya sebagai kelemahan ketara dari segi tadbir urus dan pematuhan dalam majlis bandaran berkenaan. Hanya selepas laporan tersebut dikeluarkan, KPMG dilantik untuk memeriksa akaun-akaun AHTC.

KPMG mengambil masa sekitar 22 bulan berurusan dengan AHTC berkaitan kawalan kewangan, kata Encik Hawkes. Tedapat "beberapa isu penting" yang ditemui dalam semakan bulanan KPMG dengan AHTC dalam tempoh itu dan "sukar bagi saya untuk mengatakan mereka berpuas hati (dengan FMSS)".

Menurut laporan Julai 2016 KPMG tentang kemajuannya dengan AHTC, ia mendapati "banyak catatan manual yang tidak dimasukkan ke dalam akaun belum bayar yang digunakan untuk menyimpan rekod pembayaran berjumlah S$60,660,927 kepada pihak-pihak ketiga".

"Jalan pintas ini menyukarkan jabatan kewangan memantau pembayaran yang dilakukan secara berkesan," menurut laporan. "Tindakan seumpama ini mencetuskan persoalan tentang pengurusan kewangan AHTC."

Ketika ditanya Hakim Kannan Ramesh untuk menjelaskan ini, Encik Hawkes mengatakan bahawa pembayaran S$60 juta, yang kebanyakannya bagi bil utiliti, diproses menggunakan catatan jurnal secara manual. Kaedah ini "semestinya tidak melalui langkah kawalan" yang seharusnya dapat dilaksanakan sekiranya ia dimasukkan ke dalam akaun belum bayar.

"Akaun belum bayar adalah salah satu kuasa yang majlis bandaran ada," kata Encik Hawkes. Beliau menambah bahawa ini satu "kelemahan kawalan besar" dan AHTC "jelas prihatin" apabila KPMG mengenal pasti perkara itu dan membincangkannya dengan majlis bandaran.

"Saya rasa ia jelas pada masa itu bahawa mereka tidak begitu berpuas hati," kata Encik Hawkes, menjawab pertanyaan Encik Netto tentang sama ada AHTC tidak berpuas hati dengan khidmat FMSS.

5 TAHUN TERLALU LAMA BAGI MASALAH AKAUN TIDAK DIHURAIKAN: KPMG

Semasa memberi keterangan, Encik Netto membangkitkan isu yang juga dikemukakan seorang lagi peguam bela, tentang penarikan diri daripada sistem pengurusan komputer majlis bandaran (TCMS).

Menurut peguam, apabila WP mengambil alih pengurusan bekas Majlis Bandaran Aljunied selepas mereka menang di GRC Aljunied dalam Pilihan Raya 2011, sofwe kewangan dan perakaunan TCMS ditamatkan oleh firma IT Action Information Management.

Sofwe TCMS milik majlis-majlis bandaran Parti Tindakan Rakyat (PAP) dijual kepada Action Information Management pada 2010 dalam satu tender yang dibuka.

Menjawab Encik Hawkes, Encik Netto berkata: "Anda membicarakan tentang masalah perakaunan, dan ini banyak berkaitan kepada peningkatan sistem komputer, dan mereka tidak menafikannya. (Ini) kerana TCMS ditarik daripada mereka. Anda tahu tentang ini bukan?"

"Saya sedar bahawa ia diambil AIM (Action Information Management), dan ia kemungkinan besar bukan satu perkara mudah untuk menggantikan sistem perakaunan," kata Encik Hawkes.

"Namun, apabila KPMG diarahkan untuk melakukan semakan terhadap pelanggaran ke atas Akta Majlis Bandaran, ia hanya sekitar lima tahun kemudian - iaitu jangka masa agak lama kemudian. Dan apabila kami memeriksanya, misalnya, sebilangan catatan jurnal dalam sistem akaun, antaranya bertarikh sehingga 2011 dahulu, tidak pernah disiasat... Saya tidak rasa lima tahun kemudian, sistem perakaunan seharusnya masih bermasalah."

Encik Hawkes dibebaskan sebagai seorang saksi pagi tadi (11 Okt). Saksi selanjutnya yang harus memberi keterangan adalah saksi PRPTC, rakan PricewaterhouseCoopers, Goh Thien Phong. Beliau akan disoal oleh Encik Chelva Retnam Rajah, peguam bela bagi AP WP dan para ahli majlis bandaran AHTC.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan