Images
  • singapore maritime gallery
    Galeri Maritim Singapura menampilkan sistem baru bagi mengemudi bahtera menggunakan simulator. (Gambar fail: Loke Kok Fai)

Perancangan Perubahan Industri maritim dilancarkan, wujudkan nilai tambah $4.5 bilion, 5,000 pekerjaan baru

SINGAPURA: Sebuah pelan baru dilakarkan bagi menetapkan hala tuju perusahaan maritim untuk dekad akan datang. Perancangan Perubahan Industri (ITM) didedahkan hari ini (12 Jan) dengan tujuan untuk mengembangkan nilai ditambah perusahaan itu sebanyak S$4.5 bilion dan mewujudkan lebih 5,000 pekerjaan baru menjelang 2025.

Ia dirasmikan Menteri Negara Kanan Pengangkutan Lam Pin Min.

Singapura menduduki ranking teratas sebagai pusat maritim antarabangsa utama dunia dalam laporan Menon tentang ibu kota Maritim sedunia, mengatasi bandar-bandar maritim utama seperti Hamburg, Oslo, Shanghai dan London.

Industri maritim menyumbang kepada sekitar 7 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura. Sektor ini juga menggajikan lebih 170,000 orang. Pertumbuhan dalam perdagangan dunia juga membantu mengembangkan perniagaan muatan perkapalan sebanyak 9 peratus pada 2017 berbanding tahun sebelumnya.

Pelabuhan-pelabuhan Singapura juga mengendalikan 626.2 juta tan kargo pada 2017 iaitu naik 5.5 peratus dari tahun sebelumnya.

Persoalannya ialah mampukah Singapura dapat mengekalkan kedudukannya apa lagi dengan ketidakpastian seperti dasar perlindungan serta persaingan lebih sengit daripada negara lain di rantau ini. Ia terus menimbulkan cabaran kepada perusahaan maritim dan menjejas pertumbuhan dalam jangka panjang.

Berucap di pelancaran ITM, Encik Lam berkata bahawa perubahan penting bagi memastikan sektor itu dapat terus berkembang.

"Ketersambungan yang kita nikmati hari ini bukan kerana tidak dirancang tetapi hasil pelaburan yang disalurkan sewajarnya dalam pembangunan prasarana dan keupayaan tenaga kerja. Kita harus terus berusaha untuk kekal berada di depan selain menyediakan perkhidmatan pelabuhan bertaraf dunia. Kita juga harus mencari peluang pertumbuhan baru dan mengukuhkan lagi kedudukan kita di dunia. Ini bermakna, kita harus melihat kembali bagaimana kita menjalankan perniagaan serta tenaga kerja yang diperlukan dalam sektor maritim," kata Encik Lam.

Bagi memastikan Singapura kekal sebagai hab maritim terbaik, Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) akan memimpin pelan ITM bersama pihak-pihak berkepentingan dalam industri, untuk memacu inovasi dan daya penghasilannya.

'MPA Living Lab' antara usaha menyediakan platform untuk pemaju teknologi dan para pemain industri menguji huraian-huraian baru.

Bagi mengasah kemahiran tenaga kerja tempatan maritim pula, MPA akan membiayai sebahagian kos latihan para kakitangan dalam bidang seperti teknologi infokom dan analitik data melalui Dana Kelompok Maritim.

Perusahan maitim merupakan ITM yang ke-16 dilancarkan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI). Tujuh lagi akan dilancarkan menjelang April ini.  

- CNA/AQ/aq

Top