Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pentingnya anak bermain ditekankan dalam PlayFest; pesta akan dibawa ke estet kejiranan

Menyedari betapa pentingnya 'bermain' dalam pembangunan anak-anak, dan betapa pentingnya rumah dirubah menjadi 'pusat' yang kaya dengan peluang pembelajaran, Mendaki buat julung-julung kalinya menganjurkan PlayFest 2018.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menyedari betapa pentingnya 'bermain' dalam pembangunan anak-anak, dan betapa pentingnya rumah dirubah menjadi 'pusat' yang kaya dengan peluang pembelajaran, Mendaki buat julung-julung kalinya menganjurkan PlayFest 2018.

Ia diharap memupuk kesedaran tentang peranan 'bermain' dalam pembangunan holistik anak-anak kecil dan mendidik mereka menjana kemahiran berfikir sejak dari awal lagi.

PlayFest 2018 berlangsung di D’Marquee Downtown East hari ini (15 Apr). Ia kini akan dibawa pula ke estet-estet kejiranan untuk mendekati lebih ramai ibu bapa Melayu/Islam.

PERANAN IBU BAPA DITEKANKAN

Ibu bapa adalah guru pertama dalam kehidupan seorang anak.

(Gambar-gambar: Mendaki Singapore/ Facebook)

Maka itu, pesta pembelajaran yang disasarkan untuk ibu bapa dengan anak dari usia bayi hingga enam tahun ini, mahu membantu para ibu bapa menghidupkan suasana yang kondusif untuk bermain sambil belajar di rumah.

Misalnya, 'Mediated Learning Experience' atau Pengalaman Belajar Berperantara, diperkenalkan kepada sekitar 1,800 anggota keluarga.

Ia mengajak ibu bapa dan anak-anak bersama-sama menyingsing lengan, melibatkan diri sepenuhnya dalam pelbagai aspek permainan seperti bercucuk tanam, memasak dan melukis menggunakan teknologi 3D.

"Di rumah kami tidak ada perkakas seperti ini jadi acara seperti ini memberi kami ruang yang lebih luas. Bagi anak kami pula, lagi banyak pilihan untuk mereka bermain," kata Cik Ahdiah Salleh, pengunjung PlayFest 2018 tadi.

Acara ini juga adalah sebahagian daripada kempen 'Siap Sedia ke Sekolah' MENDAKI.

TAK PERLU MAINAN MAHAL RANGSANG KREATIVITI ANAK-ANAK

"Kita dapat jumpa juga kegiatan lain yang ada untuk anak kita juga seperti aktiviti-aktiviti amali. Ada satu yang saya nampak menggunakan kadbod untuk membuat permainan seperti 'maze'. Supaya mereka dapat menggunakan daya fikiran mereka untuk masukkan bola itu dalam lubang yang tertentu," kata Encik Haiqal Jaafar yang turut menyertai pesta tersebut.

Para pengunjung juga membawa pulang sebuah 'Playkit' yang mengandungi beberapa permainan mudah yang memerlukan penggunaan barangan harian seperti penutup botol dan klip kertas.

Ia diharap dapat mencetus daya inovasi para ibu bapa - mereka permainan sendiri - dengan sekadar menggunakan perkakas yang sedia ada di rumah.

LANDSKAP EKONOMI KIAN BERUBAH: MULA DARI KANAK-KANAK

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MENDAKI, Cik Rahayu Buang pula menekankan peri pentingnya membesarkan anak-anak dengan kemahiran yang holistik, lebih-lebih lagi dalam landskap ekonomi yang pesat berubah.

"Konsep-konsep seperti ini sangat penting bagi mendorong daya kreativiti, daya pemikiran yang kritikal dan juga penggunaan bahasa dalam komunikasi," kata Cik Rahayu.

"Ini semua adalah kemahiran yang penting bagi anak-anak supaya apabila mereka dewasa kelak, mereka lebih bersedia untuk masa hadapan," tambah beliau.

Menteri Perhubungan dan Penerangan Dr Yaacob Ibrahim turut hadir untuk melihat-lihat kegiatan pesta ini. MENDAKI berancang mengadakan PlayFest mini di kawasan kejiranan pada separuh kedua tahun ini.

Jika anda terlepas peluang menghadiri PlayFest hari ini, usah bimbang.

MENDAKI berancang mengadakan PlayFest mini di kawasan kejiranan pada separuh kedua tahun ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan