Images
  • spf ndp
    Agensi-agensi keselamatan negara pertingkat tahap keselamatan di sekeliling kawasan Marina Bay. (Gambar: BERITAmediacorp)

Penonton NDP di Pentas Terapung Marina Bay puji kecekapan pegawai keselamatan

SINGAPURA: Dengan puluhan ribu menyaksikan NDP tahun ini, sememangnya agensi-agensi keselamatan negara meningkatkan tahap keselamatan di sekeliling kawasan Marina Bay.

Seawal jam 12.00 tengah hari lagi, ribuan orang sudah mula membanjiri kawasan di luar Pentas Terapung Marina Bay. Ini meskipun pintu masuk bagi para penonton hanya dibuka pada 3.30 petang.

Para penonton NDP yang ditemui BERITAmediacorp mengatakan bahawa mereka teruja diberi peluang untuk menyaksikan NDP secara langsung. Tidak hairan juga ramai yang tidak sabar untuk menonton perbarisan, terutama sekali bagi mereka yang pertama kali mendapat tiket NDP. Ada juga yang datang awal "untuk mendapat tempat duduk yang terbaik".

Bagi memenuhi tahap keselamatan yang diperketatkan, pihak penganjur mengerahkan lebih 5,600 kakitangan dari pelbagai agensi keselamatan negara.

Langkah-langkah keselamatan juga dilaksanakan di kawasan seperti stesen pemeriksaan kenderaan dan stesen pemeriksaan penonton.

Para penonton sudah dimaklumkan untuk tidak membawa masuk barangan seperti pelaung suara (loudhailer), minuman dan barangan dalam tin. Bekas mengandungi cecair, aerosol lebih 100 milimeter pula perlu melalui pemeriksaan tambahan. Proses memasuki Pentas Terapung Marina Bay mengambil masa sekitar 30 minit sahaja.

Para penonton yang ditemui BERITAmediacorp rata-rata memuji kecekapan para pegawai keselamatan yang membuat mereka berasa lebih selamat dan semua dijalankan secara teratur dan terkawal.

Kehadiran pasukan-pasukan khas terutama sekali begitu ketara di pusat beli-belah dan kawasan awam berdekatan Pentas Terapung Marina Bay.

Antara yang terlibat dalam pasukan khas itu terdiri daripada Pasukan IRT SPF, Kontinjen Gurkha dan pasukan spesialis dari Markas Operasi Khas. Mereka ditugaskan untuk mengesan dan mencegah sebarang ancaman dan memberikan respons pertama jika perlu. 

- BERITAmediacorp/aq

Top