Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengurus RC dipenjara kerana cuba rakam video bogel penyewa bilik

Seorang tuan rumah yang mencuba merakam dua penyewa wanita dari China dalam tandas dijatuhi hukuman penjara dua bulan pada Khamis (6 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Pengurus RC dipenjara kerana cuba rakam video bogel penyewa bilik

(Gambar hiasan: Jeremy Long)

Diterbitkan : 07 Dec 2018 12:51AM Dikemas Kini : 07 Dec 2018 12:53AM

SINGAPURA: Seorang tuan rumah yang mencuba merakam dua penyewa wanita dari China dalam tandas dijatuhi hukuman penjara dua bulan pada Khamis (6 Dis).

Lim Fang Foo, 52 tahun, mengaku bersalah atas dakwaan cuba mengganggu privasi seorang wanita dengan niat mencabuli kehormatannya. Pertuduhan kedua turut dipertimbangkan.

Mahkamah diberitahu bahawa dua penyewa berkenaan, masing-masing berusia 23 dan 30 tahun, menyewa bilik tidur utama dari Lim.

Wanita 30 tahun berkenaan berpindah ke apartmen Sengkang tersebut pada Mei tahun lalu sementara satu lagi penyewanya berpindah enam bulan kemudian.

Sekitar pertengahan bulan Disember tahun lalu, Lim membeli satu kamera lubang jarum (pinhole) dari Sim Lim Square, yang dijual dengan satu kad memori.

Dia pulang dan membelek-belek kamera itu dan belajar cara menggunakan alat tersebut dengan niat ingin melihat dua penyewanya berbogel, kata Timbalan Pendakwa Raya Kenneth Kee.

Meskipun wanita-wanita itu mengunci pintu bilik mereka, Lim menyimpan satu kunci ganti. Dia menggunakannya untuk memasuki tandas dalam bilik tersebut dan memasang kamera itu di satu lubang siling, dekat dengan paip air hujan.

Dia melakukan ini beberapa kali, memasang kamera pada sebelah pagi dan mengambilnya semula pada sebelah petang selepas dua penyewanya keluar bagi syif malam mereka.

Helahnya terbongkar setelah penyewa berusia 30 tahun itu sedang mandi pada pagi 29 Dis. Mangsa menyedari terdapat objek menyerupai kotak kecil di lubang siling lalu mengambilnya.

Apabila mangsa menyedari ia sebuah kamera yang sengaja disembunyikan, beliau menyerahkannya kepada wanita kedua yang juga penyewa bilik Lim. Polis kemudian dipanggil.

Lim mengaku memasang kamera tersebut dalam tandas, tetapi memberitahu para pegawai polis bahawa dia gagal merakam sebarang video.

Analisis forensik terhadap peranti itu mendapati pengakuannya benar. Lim turut mengaku memasang kamera tersebut di siling dalam lima insiden berasingan.

DIA CUBA 5 KALI TETAPI GAGAL: PENDAKWA RAYA

Pendakwa raya meminta supaya Lim dijatuhi hukuman penjara selama sekurang-kurangnya dua bulan, kerana "dia sudah merancang terlebih dahulu dan tidak berputus asa untuk melakukan kesalahan".

Beliau akur bahawa Lim pada awalnya menafikan melakukan kesalahan dengan memberitahu polis bahawa dia tidak tahu menggunakan kamera tersebut.

Pendakwa raya menambah bahawa Lim sudah membeli kamera tersebut sebelum menguji dan mencubanya lima kali, meskipun gagal untuk merakam dua penyewanya berbogel.

"Ia memang satu kebetulan dia gagal merakam sebarang video wanita-wanita itu," katanya. "Jika mereka tidak menyedari kamera itu dipasang, mungkin helahnya tidak akan terbongkar."

Beliau bekata, Lim mengkhianati hubungan sebagai seorang tuan rumah kepada penyewa-penyewanya, yang mengharapkan diberi ruang sendiri memandangkan sudah diberikan kunci untuk mengunci bilik mereka.

Peguam bela Lim Marcus Tai memohon supaya anak guamnya hanya dipenjara sebulan, sambil menyatakan bahawa Lim sangat menyesali perbuatannya dan sudah memberi S$500 kepada setiap wanita sebagai pampasan.

Beliau menambah, Lim sudah "menyumbang kepada masyarakat awam" melalui pekerjaannya sebagai seorang pengurus jawatankuasa penduduk, sambil merujuk kepada satu surat dari jawatankuasa tersebut yang memuji khidmatnya.

Lim juga merupakan seorang pesakit angin ahmar yang pernah terkena serangan jantung, katanya.

Apabila ditanya pihak media, peguam Lim enggan mendedahkan anak guamnya berkhidmat di RC mana dan sama ada Lim masih menyandang jawatan seorang pengurus dalam jawatankuasa tersebut.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan