Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penguam bela perbicaraan AHTC kritik cara KPMG gandingkan kos ejen pengurusan

Para peguam bela yang mewakili ejen pengurusan FM Solutions and Services mengkritik cara para juruaudit KPMG menggandingkan kos yang ditanggung oleh Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) dalam mendapatkan khidmat syarikat itu dengan kos bagi terus mendapatkan khidmat CPG Facilities Management.

Anggaran Waktu Membaca:
Penguam bela perbicaraan AHTC kritik cara KPMG gandingkan kos ejen pengurusan

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 11 Oct 2018 12:21AM Dikemas Kini : 11 Oct 2018 12:27AM

SINGAPURA: Para peguam bela yang mewakili ejen pengurusan FM Solutions and Services (FMSS) mengkritik cara para juruaudit KPMG menggandingkan kos yang ditanggung oleh Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) dalam mendapatkan khidmat syarikat itu dengan kos bagi terus mendapatkan khidmat CPG Facilities Management, iaitu ejen pengurusan sebelum ini.

Para peguam bela menyifatkannya sebagai "tidak tepat" dan "terlalu spekulatif" pada hari keempat perbicaraan itu pada Rabu (10 Okt).

Seramai tiga Anggota Parlimen dari Parti Pekerja (WP) iaitu Low Thia Khiang, Sylvia Lim dan Pritam Singh serta para pegawai majlis bandaran AHTC terbabit dalam dua tuntutan mahkamah bernilai berjuta-juta dolar, berhubung pembayaran yang tidak wajar.

Kumpulan kedua defendan dalam tuntutan itu adalah mantan timbalan setiausaha AHTC, How Weng Fan, yang juga merupakan pengarah dan pemegang saham FMSS; suami Cik How, mendiang Danny Low yang memiliki FMSS; dan syarikat itu sendiri.

Dalam pemeriksaan balas yang dilakukan terhadap Pengarah Eksekutif KPMG Owen Hawkes, peguam bela Leslie Netto, yang mewakili kumpulan kedua defendan, mempertikaikan beberapa perhitungan yang dibuat dalam laporan KPMG berhubung perbezaan harga antara kedua-dua ejen pengurusan tersebut.

Gambar peguam bela Leslie Netto semasa pemeriksaan balas terhadap Encik Owen Hawkes. (Ilustrasi: Lydia Lam) 

Gambar lukisan peguam bela Leslie Netto semasa pemeriksaan balas terhadap Encik Owen Hawkes. (Ilustrasi: Lydia Lam) 

Laporan itu membentuk sebahagian daripada asas bagi tuntutan mahkamah terhadap kesemua lapan defendan.

Menurut laporan KPMG, keputusan AHTC untuk melantik FMSS sebagai ejen pengurusan dalam kontrak pertama, iaitu bagi tempoh dari Julai 2011 hingga Julai 2012, menyebabkan kos tambahan melebihi S$515,000 berbanding jika ia terus mendapatkan khidmat CPG.

Laporan berkenaan menyatakan bahawa FMSS mengenakan yuran sekitar S$1.1 juta manakala yuran ejen pengurusan CPG bagi Hougang adalah sekitar S$687,000.

Encik Netto bagaimanapun berkata "adalah spekulasi" bahawa CPG mungkin mengambil alih pengurusan divisyen Hougang pada kadar harga yang sama, sambil menarik perhatian mengenai penamatan akses AHTC kepada Sistem Komputer Pengurusan Majlis Bandaran (TCMS).

Menjawab pertanyaan Encik Netto, Encik Hawkes berulang kali berkata bahawa CPG "mempunyai tanggungjawab" untuk berbuat demikian.

Encik Netto juga menarik perhatian bahawa sekiranya CPG mengambil alih HTC, ia mungkin menyebabkan kehilangan pekerjaan bagi sesetengah pekerja. Encik Hawkes bagaimanapun berkata bahawa KPMG tidak mengira kos sosial bagi menukar ejen pengurusan.

Encik Netto juga menyangkal satu "saranan bahawa Cik Sylvia Lim hanya semata-mata meluluskan" dan menandatangani dokumen-dokumen tersebut.

Menurut beliau, Cik How berkata bahawa ini bukanlah sesuatu yang benar. Cik Lim "begitu teliti, amat berhati-hati dan beliau kerap membawa pulang dokumen-dokumen tersebut".

Encik Netto sekali lagi menimbulkan perkara yang dibincangkan dalam perbicaraan sebelum ini - iaitu AHTC memperkenalkan langkah tambahan dengan memerlukan naib pengerusinya atau pengerusinya untuk menandatangani cek-cek untuk FMSS.

Meskipun Encik Hawkes bersetuju bahawa ini adalah benar, beliau bagaimanapun berdiri teguh pada pandangannya bahawa ia bukan "sesuatu yang dapat dikawal dengan secukupnya di bawah keadaan tersebut".

Beliau menambah bahawa perbezaan dalam hubungan antara CPG dengan ATC dan antara FMSS dengan AHTC adalah Encik Loh memegang 50 peratus saham FMSS.

Encik Hawkes sebelum ini menjelaskan bahawa "terdapat konflik kepentingan dalam segala bidang perniagaan", namun apa yang penting adalah langkah-langkah yang diambil untuk mengurusnya.

Pada pendapat beliau, memerlukan naib pengerusi atau pengerusi untuk menandatangani cek bukanlah langkah yang mencukupi.

Perbicaraan berhubung kes itu akan diteruskan pada Khamis (11 Okt), dengan Encik Netto dijangka akan menggulung pemeriksaan balasnya terhadap Encik Hawkes. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan