Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengendali makanan digesa sedar manfaat bahan sihat, tingkatkan penggunaan dalam menu

Kini terdapat 26 juta hidangan lebih sihat yang dijual di cawangan-cawangan makanan dan minuman merata negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Nov 2017 08:33PM Dikemas Kini : 13 Nov 2017 10:42PM

SINGAPURA: Kini terdapat 26 juta hidangan lebih sihat yang dijual di cawangan-cawangan makanan dan minuman merata negara.

Jumlah tersebut meningkat lebih tiga kali ganda sejak pelancaran Program Pemakanan Lebih Sihat (HDP) oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan, HPB, pada tahun 2014.

Namun menurut Setiausaha Parlimen Kesihatan Amrin Amin, masih ada ruang bagi orang ramai memperbaiki amalan gaya pemakanan mereka kerana kesedaran itu "tidak berada di tahap yang memuaskan".

(Gambar: Fariza Abdul Aziz)

Sebagai contoh, hidangan laksa menggunakan mi yang diperbuat daripada beras perang.

Itu juga antara sajian yang dihidangkan kepada 25 pengendali cawangan makanan dan minuman (F&B) halal dalam satu sesi rangkaian anjuran HPB hari ini.

Sambil berinteraksi bersama pembekal-pembekal makanan yang menawarkan bahan-bahan lebih sihat, para pengendali cawangan F&B diharap akan menyedari kemaslahatannya lantas meningkatkan penggunaan bahan-bahan tersebut di dalam menu mereka.

Usaha ini penting dalam mencegah penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, memandangkan 60 peratus penduduk Singapura makan di luar sekurang-sekurangnya empat kali seminggu.

(Gambar: Fariza Abdul Aziz)

 Pengurus Makmur Restaurant, Cik Harfa Abdul Karim, berkata: "Sekarang, kita sudah cuba nak campurkan nasi perang dengan nasi putih dalam bufet kita serta juga dalam acara-acara istimewa, mereka meminta bihun goreng menggunakan mi yang diperbuat daripada beras perang. Kita sudah cuba dan Alhamdulillah, mereka berani membuat pesanan macam ini dan kita dah tahu responsnya bagus jadi Alhamdulillah."

Ani Moh dari Jamil Catering & Trading Services pula akur bahawa kita semua punya selera yang berlainan.

Oleh itu, ada yang akan menerima, dan yang lainnya tidak akan menerima.

"Tetapi kita harus cuba. Jadi mungkin benda ini makan masa. Lama-kelamaan, insya-Allah ia akan merupakan orang ramai punya pendirian macam mana hendak makan makanan sihat," kata Cik Ani.

Selain sempat menikmati resipi-resipi lebih sihat ini, Setiausaha Parlimen Kesihatan Amrin Amin juga "berhempas-pulas" di dapur memasak Nasi Goreng Pattaya bersama Cef Bob.

(Gambar: Fariza Abdul Aziz)

(Gambar-gambar: Fariza Abdul Aziz)

Encik Amrin mengingatkan bahawa setiap individu memikul tanggungjawab dalam menjadikan pemakanan sihat sebagai satu tabiat seharian.

"Ini adalah satu usaha yang sangat baik kerana pemakanan itu dapat mencegah atau mengawal penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Ini satu usaha yang baik kerana kita ingin menubuhkan satu sistem eko di mana senang untuk kita dapatkan makanan yang sihat.

"Saya ingin mengajak semua untuk memeluk inisiatif ini secara sepenuhnya dan masak dengan cara yang baik supaya kita dapat memastikan yang kita dapat menjaga kesihatan kita, menjaga kesihatan keluarga kita," kata Encik Amrin.

Sasaran HPB menjelang tahun 2019, memastikan 40 peratus daripada gerai di pusat-pusat penjaja serta kedai-kedai kopi menjual sekurang-kurang satu pilihan makanan lebih sihat dalam menu mereka.

Setakat ini, lebih 4,000 daripada mereka sudahpun mendakap inisiatif tersebut. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan