Images
  • ciggarette
    (Gambar: AFP/JOEL SAGET)

Pengendali kedai kopi dijel 3 minggu selepas cuba sogok pegawai

SINGAPURA: Seorang lelaki rakyat Singapura berusia 68 tahun dijatuhi hukuman penjara tiga minggu pada Selasa (13 Mac) kerana cuba menyogok seorang pegawai pemeriksaan.

Lam Kim Heng, pengendali perniagaan Heng Heng Eating House di Bukit Batok, melakukan kesalahan berkenaan pada 14 Oktober 2017.

Dia menawarkan sebungkus rokok bernilai S$12.10 kepada pegawai tersebut, dan meminta pegawai itu memaklumkannya terlebih dahulu sebelum menjalankan pemeriksaan di kedai kopi itu.

Pegawai berkenaan adalah daripada Pengurusan Kemudahan CPG, yang dilantik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) untuk memeriksa sebarang pencabulan peraturan HDB, menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam kenyataan medianya.

Pegawai itu sedang memeriksa kedai kopi tersebut apabila beliau didekati Lam yang menghulurkannya sebungkus rokok, dedah CPIB, sambil menyatakan pegawai itu menolak sogokan berkenaan dan isu tersebut dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Sesiapa yang didapati bersalah atas kesalahan rasuah di Singapura boleh didenda sehingga S$100,000, dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

- CNA/IM/im

Top