Images
  • police (1)
    Gambar fail seorang pegawai polis sokongan dari AETOS di Grand Prix Formula One di Singapura. (Gambar: AETOS)

Penganjur Grand Prix S'pura beri amaran terhadap tiket haram

SINGAPURA: Pihak penganjur Grand Prix Singapura memberi amaran kepada para peminat supaya jangan membeli tiket daripada penjual haram atau menghadapi kemungkinan mereka tidak dibenarkan masuk.

Sekurang-kurangnya lima penjual haram didapati menjual tiket ke perlumbaan F1 dengan harga S$30 lebih murah barbanding harga biasa iaitu S$78.

Malah, ada juga yang menjaja tiket untuk menonton konsert Jay Chou.

Para penjual haram itu dipercayai merupakan warga asing. Mereka secara terang-terangan menghampiri orang ramai di kawasan Raffles Place untuk menjual tiket, meskipun anggota-anggota polis berada di kawasan berkenaan.

Menurut jurucakap Singapore GP, perbuatan menjual semula tiket seperti itu adalah dilarang. Pemegang tiket sedemikian atau mereka yang membeli tiket daripada ejen yang tidak berlesen melanggar syarat-syarat jualan.

Tiket-tiket sedemikian boleh dianggap tidak sah dan pemegang tiket mungkin dilarang masuk.

Polis pula memberi amaran bahawa mereka yang didapati menjual di tempat awam tanpa lesen boleh didenda sehingga S$2,000 atau dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali. 

- CNA/MM/ai

Top