Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengamat politik: Isu jurang sosial dijangka dapat perhatian utama dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan

Apakah agaknya inti ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan Perdana Menteri Lee Hsien Loong, pada Ahad ini, 19 Ogos?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Apakah agaknya inti ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan Perdana Menteri Lee Hsien Loong, pada Ahad ini, 19 Ogos?

Menurut para penganalisis yang ditemui BERITAmediacorp, isu merapatkan jurang sosial dan keselamatan negara, gagasan kepimpinan bagi masyarakat Melayu/Islam, serta hubungan dagangan antara ekonomi mungkin menjadi tumpuan utama.

Rumusan itu dibuat melihatkan kepada trend-trend yang sudah digariskan oleh PM Lee sejak kebelakangan ini, serta bayangan yang diberikannya dalam Amanat Hari Kebangsaan minggu lalu.

JURANG ANTARA MASYARAKAT DIBERI PERHATIAN

Melihat kepada demografi masyarakat Singapura yang berubah dengan pesat dan keadaan ekonomi yang tidak menentu hari ini, para pengamat politik percaya isu domestik kekal menjadi tumpuan utama dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan nanti.

Dr Bilveer Singh dari Universiti Nasional Singapura (NUS) berpendapat, cabaran seharian yang dihadapi oleh masyarakat Singapura, yang terkait rapat dengan isu jurang sosial, akan diberikan perhatian.

"Kita perlukan perbincangan nasional bagaimana kita nak menghadapi dan mengatasi masalah ini kenapa? Dengan begitu banyak orang yang akan berusia dalam 20 tahun akan datang, kita akan banyak rakyat Singapura yang umurnya lebih 65 atau 90.

"Jadi bagi saya, negara kita ini dalam satu krisis negara yang telah membangun, dan ini perlukan reaksi yang baru," kata beliau. 

Menurut zamil penyelidik ISEAS, Dr Norshahril Saat pula, antara isu sosial yang dibayangkannya akan diberikan perhatian termasuk peningkatan terhadap pendidikan prasekolah dan penjagaan kesihatan yang lebih holistik bagi golongan senja.

Menurutnya lagi, walaupun isu-isu tersebut sudah dibincangkan buat beberapa tahun, penyelesaian kepada isu genting itu akan memakan masa yang panjang.

"Saya tidak melihat bahawa isu-isu ini boleh dicapai dalam jangka masa pendek kerana isu-isu ini adalah isu-isu yang kompleks, sebenarnya ia memerlukan masa dan waktu untuk dicapai, dengan menggariskannya dan menimbulkannya tersebut, ia seakan-akan mengajak masyarakat untuk sama-sama berbincang," tambahnya lagi.

ISU KESELAMATAN DI PERINGKAT NASIONAL, GLOBAL

Dr Norshahril Saat turut menarik perhatian, isu lain yang mungkin dikupas PM Lee termasuk keselamatan yang dihadapi Singapura di peringkat nasional, mahupun antarabangsa.

"Isu-isu kebangsaan isu-isu antarabangsa juga memainkan peranan penting. Isu-isu keselamatan misalnya, apa yang berlaku di Amerika Syarikat dan hubungan Amerika Syarikat dengan China, dan kesepaduan ASEAN. Isu-isu ini juga penting kerana ia boleh menjejas kehidupan seharian masyarakat Singapura, tentu sekali dalam aspek ekonomi.

PERANAN M3 DALAM MEMASYARAKATKAN DASAR-DASAR

Kedua-dua pengamat politik itu menjangkakan, ucapan PM Lee dalam bahasa Melayu semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan nanti mungkin menyentuh idea-idea baru kepimpinan Encik Masagos Zulkifli.

Ini memandangkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam yang baru itu sejak akhir-akhir ini secara konsisten menekankan konsep rangka kerja M3 yang melibatkan MUIS, MENDAKI dan MESRA.

"Selalu kita dengar apakah peranan yang dimainkan oleh MUIS, untuk menjaga hal ehwal Islam dan MENDAKI lebih dari aspek pendidikan, tapi jarang sekali kita mendengar MESRA terlibat dalam isu-isu berkenaan dengan masyarakat Melayu walaupun badan tersebut telah wujud sekian lama.

"Jadi mungkin ini adalah satu usaha yang ingin dijalankan oleh Pemerintah untuk memasyarakat lagi dasar-dasar."

Dr Bilveer berkata peranan ketiga institusi itu akan ditekankan khususnyanya bagaimana ia membantu dalam membangkitkan dan memperkasa masyarakat Melayu/Islam.

"Untuk memberi posisi dan kepentingan yang baru adalah apa yang Masagos sedang lakukan apa lagi dalam 18 bulan akan datang kita akan ada Pilhan Raya di sini," ujar pengamat politik veteran itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/UR/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan