Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengamat percaya tiada perubahan besar dalam rombakan Kabinet 2019

Pengamat percaya tiada perubahan besar dalam rombakan Kabinet 2019. Mereka juga percaya Encik Heng Swee Kiat mungkin susun barisan Kabinet seterusnya pada 2019, memandangkan beliau dapat sokongan pemimpin 4G dan 3G.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Dec 2018 10:59PM Dikemas Kini : 19 Dec 2018 12:30AM

SINGAPURA: Sejak bulan lalu sudah semakin jelas siapa yang akan menerajui kumpulan pemimpin generasi keempat dari Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Ini menyusuli pemilihan pucuk pimpinan parti itu dan perubahan pemimpin dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat PAP.

Menteri Kewangan Heng Swee Keat dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Chan Chun Sing masing-masing dinamakan sebagai Penolong Setiausaha Agung Pertama dan Kedua. Ini bermakna mereka dijangka menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pada masa depan.

Namun Encik Heng belum berpengalaman dalam kementerian pertahanan - beliau bermula sebagai Menteri Pendidikan dan kemudian Menteri Kewangan sejak memasuki Kabinet pada 2011.

Meskipun demikian, pakar-pakar politik berpendapat ini bukan satu isu.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing.

"Jika diambil kira bahawa Menteri Chan Chun Sing dikenal pasti sebagai timbalan kepada Menteri Heng, dan Menteri Chan merupakan seorang mantan jeneral tentera, pada saya dari segi hal-hal pertahanan, keselamatan negara, Encik Chan lebih sesuai menanganinya," kongsi Profesor Madya Eugene Tan, pakar politik dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

"Kita jangan lupa bahawa Menteri Heng mulakan kerjayanya sebagai pegawai polis. Jadi saya tidak akan kata beliau langsung tidak memahami hal-hal berkaitan ketenteraman awam, keselamatan negara dan pertahanan."

Timbalan Pengarah Institut Pengajian Dasar (IPS) Dr Gillian Goh pula berpendapat: "Kita perlu menitikberatkan bahawa beliau memilih Encik Chan Chun Sing sebagai timbalannya dan mereka akan saling melengkapi kekuatan masing-masing. Kita melihat Encik Heng Swee Keat memainkan peranan utuh dalam jawatan Menteri Kewangan, dan ini selalunya jawatan yang akan dipegang seseorang yang akan menjadi Perdana Menteri."

Encik Heng Swee Keat dan Encik Chan Chun Sing di sidang media hari ini. (Gambar: Hanidah Amin)

Keadaannya dijangka menjadi lebih jelas apabila Perdana Menteri Lee Hsien Loong melakukan rombakan kabinetnya, mungkin pada April depan.

Baru-baru ini, PM Lee berkata rombakan kabinet akan dilakukan selepas pengumuman belanjawan tahun depan, yang biasanya dilakukan pada Februari, disusuli dengan perbahasan Belanjawan pada Mac.

Para pengamat percaya, ada kemungkinan tidak banyak perubahan besar akan dilakukan, dengan beberapa pemimpin generasi ketiga diramal kekal dalam kabinet untuk menawarkan kestabilan dan pengalaman.

Dr Koh pula berpendapat, terdapat juga kemungkinan Encik Heng yang akan menyusun barisan Kabinet seterusnya, memandangkan beliau mendapat sokongan para pemimpin 4G dan 3G.

"Heng Swee Keat mendapat keyakinan mereka bukan setakat untuk jawatan Penolong Setiausaha Agung Pertama, malah sebagai Setiausaha Agung seterusnya dan akhirnya Perdana Menteri Singapura. Maka itu penyusunan semula Kabinet seterusnya berkemungkinan besar berdasarkan bagaimana Heng Swee Keat ingin melakarkan pasukannya, menyusun bakat-bakat yang beliau ada, meletakkan individu dengan pelbagai pengalaman dan mencabar mereka."

Menteri Kewangan Heng Swee Keat. (Gambar: Olivia Siong)

Barisan pemimpin muda menghadapi pelbagai cabaran, termasuk ketegangan perdagangan global, hubungan geopolitik, dan isu-isu domestik seperti kepalsuan online yang disengajakan.

Pastinya bagaimana para menteri muda mengendalikan isu-isu ini akan dipantau dengan teliti oleh warga Singapura.

"Perdana Menteri seterusnya - pertama kita perlu bertanding dalam pilihan raya, kita perlu menang pilihan raya dan selepas itu, jika semuanya berjalan mengikut rancangan, penggantian pucuk pimpinan dalam PAP dan tiada kejutan. Ia bergantung kepada parti ini terus bersatu dan parti ini menang pilihan raya," kata PM Lee. 

Sumber : CNA/TQ/NU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan