Images
  • singapore airlines
    Gambar fail pesawat Singapore Airlines. (Gambar: Singapore Airlines/Facebook)

Penerbangan SIA dari Melbourne ke Wellington dibatalkan setelah juruterbang gagal ujian alkohol

SINGAPURA: Penerbangan Singapore Airlines (SIA) dari Melbourne ke Wellington dibatalkan pada pagi Sabtu (15 Sep) setelah juruterbangnya didapati gagal ujian mengukur paras alkohol.

Penguasa Keselamatan Penerbangan Awam Australia menjalankan ujian dadah dan paras alkohol secara rambang ke atas semua anggota anak kapal sebelum penerbangan itu dan juruterbang berkenaan "tidak lulus ujian tersebut kerana mempunyai paras alkohol yang lebih tinggi dalam tubuh berbanding paras yang dibenarkan," kata jurucakap SIA semasa menjawab soalan-soalan Mediacorp.

"Juruterbang itu sudahpun digantung daripada semua operasi sehingga siasatan selesai dijalankan," tambah SIA.

Pesawat penerbangan SQ248 dijadual berlepas dari Melbourne pada pukul 7.00 pagi waktu tempatan pada Sabtu (15 Sep) dan sepatutnya tiba di Wellington pada pukul 12.20 tengah hari.

Sesetengah penumpang yang terjejas akibat pembatalan penerbangan itu menyuarakan kemarahan mereka di media sosial sambil menarik perhatian bahawa mereka tidak dimaklumkan selama beberapa jam mengenai langkah-langkah perjalanan alternatif seperti menempahkan penerbangan baru.



"Kami meminta maaf kepada para penumpang yang terjejas akibat penerbangan yang dibatalkan itu. Bagaimanapun, keselamatan para penumpang dan anak kapal kami tetap menjadi keutamaan kami," kata jurucakap SIA.

Beliau turut menambah: "SIA sedang bekerjasama dengan para penumpang yang terjejas bagi membantu mereka mencari perjalanan alternatif dengan secepat mungkin." 

- CNA/AI/ai

Top