Images
  • scoot
    (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Penerbangan Scoot S'pura-Berlin tertangguh 10 jam akibat kerosakan teknikal

SINGAPURA: Para penumpang pesawat Scoot dari Singapura ke Berlin terkandas selama lebih 10 jam pada pagi Jumaat (9 Nov) selepas penerbangan itu tertangguh akibat kerosakan teknikal pada bahagian sayap pesawat tersebut.

Pesawat Scoot TR734 dijadual berlepas dari Singapura pada pukul 1.10 pagi waktu tempatan. Namun, ia akhirnya berlepas pada pukul 11.55 pagi selepas pesawat berkenaan digantikan.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Scoot menyatakan bahawa pesawat itu terpaksa dibawa ke hangar pesawat selepas isu teknikal dikesan pada bahagian atas sayap pesawat.

"Semasa pesawat itu menjalani kerja-kerja pembaikan, Scoot mengerahkan kumpulan baru anak kapal bagi memastikan had tempoh penerbangan dipatuhi," menurut syarikat penerbangan tambang murah itu.

Sebuah pesawat ganti juga dikerahkan "disebabkan sekatan operasi yang dikenakan akibat kerosakan teknikal itu," menurut Scoot.

"Keselamatan amat penting dan Scoot akan sentiasa memastikan keselamatan terus menjadi keutamaan kami," menurutnya lagi.

Scoot menyatakan bahawa para penumpang diberikan makanan dan minuman sepanjang tempoh tersebut.

"Kami meminta maaf atas gangguan ini dan kami juga berharap agar para penumpang memahami keadaan."  

- CNA/AI/ai

Top