Images
  • VR Warga Tua
    Para sukarelawan mendampingi penghuni-penghuni Rumah Rawatan Warga Tua MWS - Yew Tee yang mencuba teknologi alam maya buat pertama kali (Gambar: Persatuan Rakyat)

Penduduk Warga Tua nikmati pelbagai pengalaman realiti maya

BERITAMediacorp: Membawa dunia luar ke pangkuan warga emas yang kurang daya pergerakan menerusi teknologi realiti maya (VR).

Itulah yang dilakukan sekumpulan sukarelawan muda untuk para penghuni Rumah Rawatan Warga Tua MWS-Yew Tee sempena Pesta YOUthCare Masyarakat tahun ini.

Dengan sekadar telefon bijak, set kepala dan alat kawalan, mereka dibawa ke alam yang berbeza.

"Saya rasa tenang, aman. Kita tidak perlu pergi mana-mana. Kita duduk. Kita bila pakai benda ini, kita boleh tengok apa yang ada dalam laut. Kira senanglah. Bila-bila boleh pakai", kata salah seorang penghuni Encik Hamzah Bakar.

Beliau merupakan antara 20 penghuni Rumah Rawatan Warga Tua MWS-Yew Tee yang berpeluang menikmati pengalaman VR - dari berenang bersama ikan lumba-lumba, penyu dan dinosaur, hingga berkhemah di tepi tasik.

Inisiatif oleh Jawatankuasa Eksekutif Belia Pusat Kejiranan Limbang ini menerima sokongan 30 sukarelawan pelajar, yang mendampingi sambil menjelaskan cara penggunaan teknologi VR kepada para peserta.

"Kita dilatih untuk mengajar perkara-perkara ini dengan perlahan dan mengajar mereka yang mereka boleh melihat ke kiri dan kanan kerana mereka tidak faham cara penggunaannya dan mereka melihat ke depan sahaja," jelas Puteri Zulaikha Annuar, pelajar dari ITE Kolej Barat.

Penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Marsiling-Yew Tee, Encik Lawrence Wong, turut meluangkan masa untuk beramah mesra dengan semua yang hadir.

Dengan adanya keupayaan VR, pihak penganjur berharap para peserta dapat menghiburkan diri, meningkatkan daya ingat sekaligus mengurangkan tekanan. 

- BERITAMediacorp/IH/im

Top