Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendirian Facebook terhadap kepalsuan online tekankan pentingnya kuasa undang-undang

Keengganan Facebook untuk menurunkan rencana States Times Review yang mengaitkan Singapura dengan siasatan 1MDB menunjukkan mengapa negara ini "tidak boleh bergantung kepada budi bicara platform-platform penyedia khidmat".

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Nov 2018 02:44PM Dikemas Kini : 20 Nov 2018 09:05PM

SINGAPURA: Keengganan Facebook untuk menurunkan rencana States Times Review yang mengaitkan Singapura dengan siasatan 1MDB menunjukkan mengapa negara ini "tidak boleh bergantung kepada budi bicara platform-platform penyedia khidmat" bagi melindunginya daripada kempen-kempen maklumat palsu, kata Menteri Negara Kanan Undang-Undang Edwin Tong di Parlimen hari ini (20 Nov).

Encik Tong menambah bahawa pendirian syarikat media sosial itu berhubung perkara tersebut mengukuhkan dan mewajarkan lagi saranan Jawatankuasa Pilihan bahawa kuasa undang-undang diperlukan untuk melindungi Singapura daripada kepalsuan online yang disengajakan.

Encik Tong berkata demikian semasa menjawab soalan yang diajukan oleh Anggota Parlimen Murali Pillai mengenai "kepalsuan online yang disengajakan" yang mendakwa Singapura terlibat dalam skandal rasuah 1MDB, seperti yang diterbitkan dalam laporan States Times Review, China Press dan wadah-wadah online yang lain.

Facebook sebelum ini menyatakan bahawa ia tidak dapat memenuhi permintaan pihak berkuasa Singapura untuk menurunkan rencana States Times Review yang mengaitkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dengan siasatan 1MDB kerana ia tidak "mempunyai dasar yang melarang kepalsuan selain bagi keadaan di mana sesuatu kandungan berpotensi menyumbang kepada keganasan atau ancaman fizikal".

Rencana States Times Review yang dimuat naik ke laman Facebook mendakwa bahawa Malaysia sudah memeterai beberapa perjanjian tidak adil dengan Singapura bagi mendapatkan bantuan bank-bank negara ini untuk mengubah wang dari 1MDB.

Pada 9 November, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyifatkan rencana itu sebagai "tidak berasas dan berunsur fitnah" serta memfailkan aduan polis. Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam juga menekankan bahawa dakwaan-dakwaan tersebut "tidak masuk akal sama sekali".

RENCANA MUNGKIN DIBACA OLEH LEBIH 800,000 PENGGUNA

Dalam jawapannya di Parlimen, Encik Tong mengatakan bahawa rencana States Times Review itu dikongsi sekitar 1,600 kali di Facebook setakat sehingga 8 November.

Beliau menarik perhatian bahawa sesetengah perkongsian itu adalah oleh sekumpulan pengguna yang mengongsi rencana berkenaan di beberapa kumpulan Facebook, termasuk kumpulan berhubung topik-topik yang tidak ada kaitan sama sekali.

Beliau menambah bahawa pada 7 November, rencana itu diterbitkan oleh laman Malaysia, The Coverage, dan akhbar bahasa Cina di Malaysia iaitu Malaysia Press, di mana ia disaksikan 45,000 kali dalam tempoh sehari. Dua video YouTube juga dimuat naik, dengan dakwaan tersebut diterjemahkan dalam bahasa Mandarin, tambah beliau.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan