Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penderma & penerima bantuan bank derma susu ibu KKH ini kongsi pengalaman mereka

Walau masih menyusukan anak sendiri, wanita hebat bernama Siti Habeeba ini, masih derma 18 liter susu badannya untuk bayi-bayi pramatang!

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Naluri Cik Siti Habeeba Hamzah sebagai seorang ibu membuatkan beliau terpanggil untuk mendermakan susu badannya kepada bank derma susu ibu di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KKH.

Ini lebih-lebih lagi selepas mengetahui bahawa susu badan yang didermakan akan dimanfaatkan bayi-bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan dan amat bergantung kepada susu ibu untuk terus hidup dan membesar dengan baik.

"Kalau anak saya pramatang and doktor kata susu badan adalah jalan yang terbaik daripada susu formula, yang mana satu yang akan saya pilih? Pastinya yang terbaik. Jadi daripada susu itu dibuang mengapa tidak kita dermakan pada bank susu ibu. Jadi ia akan membantu bayi-bayi yang memerlukannya."

Begitulah besar dan murahnya hati Cik Siti Habeeba semasa berkongsi kepada BERITAmediacorp sebab-sebabnya beliau mahu berkongsi susu badan dengan bayi lain, walaupun ketika itu beliau sendiri sedang menyusukan bayinya sendiri yang berusia beberapa bulan.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

SUDAH DERMA 18 LITER SUSU BADAN

Antara bulan Jun dengan Ogos tahun ini, Cik Siti Habeeba datang ke KKH sebanyak dua kali untuk mendermakan susu badannya. Secara keseluruhannya, beliau sudah menyerahkan sekitar 100 paket susu, yang setiap satu daripadanya diisi sekitar 180 mililiter susu badan.

Ini bermakna beliau sudah mendermakan kira-kira 18 liter susu badan kepada bank susu ibu KKH. Bayi perempuannya, Zahra Ulfah, ketika itu baru berusia lima bulan.

"Masa anak saya baru dilahirkan, saya berdepan isu bekalan susu yang berlebihan. Anak saya menyusu, saya masih perlu pam susu lagi. Sehingga saya perlu membeli sebuah lagi peti beku untuk menyimpan bekalan susu. Itu pun sudah penuh," kata ibu dua anak itu.

Usaha Cik Siti Habeeba untuk mendapatkan seorang anak susuan juga menemui jalan buntu. Maka itu, beliau mula mencari maklumat online untuk mengetahui di mana boleh didermakan susu badannya itu.

"Saya baca fatwa yang dikeluarkan oleh MUIS dan yang membuatkan saya betul-betul terpanggil untuk mendermakan susu badan saya apabila saya tahu bayi yang menerima susu tersebut adalah bayi pramatang yang memerlukannya untuk terus hidup dan membesar dengan sihat," ujar beliau.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Jawatankuasa Fatwa MUIS pada Ogos 2017, memutuskan bahawa pendermaan susu ibu dan pengambilan susu dari bank susu ibu dibenarkan dalam Islam. Dalam soal kaitan persaudaraan atau mahramiyah antara bayi dengan ibu susuan, Jawatankuasa Fatwa menjelaskan bahawa isu tersebut tidak timbul sama sekali dalam hal ini.

LEBIH 400 IBU TAMPIL DERMA SUSU BADAN

Meskipun pada awalnya, pelbagai persoalan timbul di fikiran Cik Siti Habeeba, semuanya terjawab selepas beliau merujuk kepada fatwa tersebut.

"Sebagai Muslim kalau kita derma susu nanti anak itu akan jadi anak susuan kita. Jadi itu salah satu keprihatinan saya. Jadi bila saya buat sedikit kajian malam-malam, bila saya baca pasal 'FAQ' (soalan yang sering ditanya) yang Mufti dah keluarkan, persoalan-persoalan saya terjawab," beliau memberitahu BERITAmediacorp.

Cik Siti Habeeba bersama suaminya. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Pastinya sokongan suami menguatkan lagi tekad Cik Siti Habeeba untuk membantu bayi-bayi pramatang yang memerlukan susu ibu.

"Saya teman dia pergi ke temu janji pertama. Temu janji itu nak kena ambil darah dan juga lepas itu hantar susu, saya menolong hantar susu di KKH sebab kadang-kadang dia bekerja jadi saya menolong dia untuk hantar susu di KKH," kata Encik Muhamad Kazuo Mohd Noor, suami Cik Siti Habeeba yang berdarah kacukan Jepun.

Bank derma susu ibu KKH itu dibuka pada bulan Ogos tahun lalu. Sejak itu, lebih 400 ibu sudah tampil mendermakan susu badan masing-masing.

Sejauh ini sebanyak 3,200 liter susu ibu diterima bank tersebut dan sebanyak 600 bayi pramatang dan yang sakit sudahpun memanfaatkannya.

TIDAK DAPAT HASILKAN SUSU BADAN DEK TERTEKAN

Antara mereka yang beruntung dapat memanfaatkan bank susu ibu itu ialah bayi Cik Maryati Omar, 39 tahun.

Anak kedua Cik Maryati itu, Shafaha Salim, dilahirkan semasa usia kehamilan beliau sangat tidak cukup matang, iaitu baru mencecah 27 minggu.

Sebagai seorang ibu, pastinya Cik Maryati mahu memberikan susu badan kepada bayi beliau. Namun, beliau hanya mampu melakukan demikian pada dua minggu pertama. Disebabkan beliau berasa tertekan melihat keadaan bayinya, Cik Maryati tidak dapat menghasilkan susu badan mencukupi.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Seperti Cik Siti Habeeba, Cik Maryati juga pada mulanya tertanya-tanya sama ada beliau patut menerima susu badan yang didermakan kepada bank tersebut.

"Kita fikir kita ini orang Islam. Ilmu pun tak banyak sangat, jadi kita dengar orang kata kalau kita ambil susu daripada orang lain anak itu akan jadi 'anak susuan'.

"Tapi selepas itu, saya berkata kepada diri sendiri, saya perlu mencari lebih banyak maklumat dan saya baca fatwa MUIS. Dari situ saya tahu terima susu dari bank derma susu ibu ini boleh dilakukan," tambah Cik Maryati, yang juga mempunyai seorang lelaki berusia tiga tahun.

"JANGAN DENGAR KATA ORANG"

Maka, beliau bergantung kepada bank derma susu ibu KKH selama dua bulan sehinggalah bayinya bertambah sihat dan dibenarkan pulang ke rumah. Anak perempuan Cik Maryati itu kini sudahpun berusia 10 bulan.

"Kita sendiri tak boleh hasilkan susu yang secukupnya untuk anak kita jadi bila kita dapat tahu dan kita sudah buat kajian, kita tahu ada bank susu ini saya amat berterima kasih, bertuah yang anak saya dapat minum susu daripada susu penderma. Itu yang penting untuk seorang ibu," kata Cik Maryati penuh sebak.

Namun demikian, mungkin masih ada para ibu di luar sana yang masih teragak-agak untuk mengambil atau menderma susu ibu.

Jadi, apabila ditanya BERITAmediacorp apakah mesej yang ingin beliau sampaikan kepada para ibu yang layak menderma ataupun memerlukan susu dari bank derma susu ibu itu, tapi masih kurang pasti, ini saranan Cik Maryati:

"Nasihat saya, buat kajian terlebih dahulu, jangan dengar kata orang. Lepas dah buat kajian kita tahu apa yang boleh, kita ikutlah naluri seorang ibu. Insya Allah naluri seorang ibu tak pernah salah. Jangan fikir dua, tiga kali, fikir tentang anak." 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan