Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Pencabulan kedaulatan S'pura ini satu isu baru serius dalam hubungan 2 hala dengan M'sia'

Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan menyeru rakyat Singapura supaya kekal bersatu di tengah-tengah pencerobohan Malaysia baru-baru ini di perairan wilayah Singapura, sambil menekankan bahawa ia satu isu kepentingan negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Dec 2018 08:29PM Dikemas Kini : 06 Dec 2018 11:02PM

SINGAPURA: Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan menyeru rakyat Singapura supaya kekal bersatu di tengah-tengah pencerobohan Malaysia baru-baru ini di perairan wilayah Singapura, sambil menekankan bahawa ia satu isu kepentingan negara.

"Apabila kepentingan negara dicabar, kita perlu dengan tenang tetapi bertegas dengan pendirian kita di samping kekal sebagai satu rakyat," kata Encik Khaw dalam satu sidang media hari ini (6 Dis).

Encik Khaw merujuk kepada 14 insiden pencerobohan oleh kapal-kapal kerajaan Malaysia di perairan wilayah Singapura dekat Tuas baru-baru ini. Ini selepas Malaysia pada Oktober lalu, meluaskan Had Pelabuhan Johor Bahru, satu tindakan yang Singapura dakwa mencerobohi perairan wilayahnya.

"Pencabulan kedaulatan Singapura ini adalah satu isu baru yang serius dalam hubungan dua hala kami dengan Malaysia," kata Encik Khaw.

"Kedudukan kami dengan Malaysia jelas dan konsisten selama ini: Kami mematuhi undang-undang antarabangsa dan menghormati perjanjian-perjanjian dua hala. Kami akan melindungi dan mempertahankan kedaulatan wilayah Singapura.

"Singapura tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pencerobohan dan kegiatan yang tidak diizinkan di perairan kami."

Semasa lawatan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad ke Singapura bulan lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong turut membangkitkan isu ini "kerana ia mampu menjejas hubungan dua hala kami", kata Encik Khaw.

"Malangnya, semenjak itu, perkembangan selanjutnya membuatkan situasi menjadi lebih serius," tambahnya.

Encik Khaw selanjutnya berkata, beliau "sangat sedih" dengan perkembangan-perkembangan ini, sambil menambah bahawa "ia seolah-olah satu 'deja vu' selepas berada dalam Pemerintah selama 40 tahun."

"Saya dapat merasakan bahawa menteri-menteri lebih muda di Malaysia ingin menjalinkan hubungan baru dan baik dengan Singapura, tanpa mengungkit sejarah silam," kata Encik Khaw, sambil menambah bahawa beliau dapat merasakan itu semasa perbincangannya dengan rakan sejawatan dari Malaysia, Encik Azmin Ali, berkenaan projek Kereta Api Laju (HSR).

"Banyak yang boleh diraih apabila kita bekerjasama. Saya percaya penduduk kedua-dua negara juga berharap barisan pemimpin lebih muda dapat bekerjasama demi masa depan lebih cerah, saling menguntungkan."

Jadi, apabila Malaysia mengumumkan bahawa ia ingin menangguhkan projek, ini sebabnya Singapura "memilih untuk tidak mengambil tindakan undang-undang sepenuhnya seperti yang ditetapkan dalam Perjanjian Dua Hala" demi kepentingan kerjasama dua hala, jelas Encik Khaw.

"Bagaimanapun, saya kekal optimis," kata Encik Khaw. "Kami masih menghendaki hubungan dua hala yang baik, dan berharap dapat bekerjasama untuk mencapai huraian damai bagi isu-isu ini.

"Namun rakyat Singapura perlu tahu sepenuhnya tentang perkembangan-perkembangan ini. Meskipun kami menginginkan kerjasama dan menjalin persahabatan dengan negara lain, kami tidak boleh membiarkan pihak lain mengambil kesempatan ke atas kami."  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan