Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemimpin muda Pakatan Harapan tiada masalah dengan S'pura - satu perkembangan "positif"

Para pemimpin muda dalam kerajaan Pakatan Harapan di Malaysia sekarang tidak dibelenggu isu-isu dengan Singapura, sebagaimana yang ada di kalangan para pemimpin generasi lebih tua.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pemimpin muda dalam kerajaan Pakatan Harapan di Malaysia sekarang tidak dibelenggu isu-isu dengan Singapura, sebagaimana yang ada di kalangan para pemimpin generasi lebih tua.

Itu satu perkembangan "positif".

Demikian penilaian Pengarah Eksekutif Institut Pulau Pinang, Dr Ooi Kee Beng, semasa ditemui di seminar anjuran Institut Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA). Institut Pulau Pinang adalah sebuah badan pemikir yang utama di Malaysia.

SIBUK KENDALI MASALAH DALAMAN, HUBUNGAN DENGAN SINGAPURA TIDAK BERUBAH

Kerajaan baru Malaysia, di bawah pemimpin veteran Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri, buat masa ini akan lebih prihatin tentang hubungannya dengan China dan mungkin juga dengan negara-negara Timur Tengah.

Disebabkan ia begitu sibuk mengendalikan masalah-masalah dalaman juga, dasar luarnya melibatkan hubungan dua hala dengan Singapura tidak akan berubah daripada yang ada sekarang.

Demikian analisis Dr Ooi Kee Beng kepada BERITAmediacorp semasa ditemui selepas menyampaikan ceramah tentang landskap Malaysia selepas 100 hari pertama Pakatan Harapan, siang tadi (18 Okt).

Dr Ooi berkata, Dr Mahathir mempunyai sejarah yang panjang dengan Singapura, dan beliau "tidak fikir banyak yang akan berubah dari segi naratif atau retorik" Dr Mahathir.

Namun Pakatan Harapan lebih daripada Dr Mahathir, kata beliau.

"Bagi pemimpin lebih muda kerajaan Pakatan Harapan, saya tidak rasa mereka ada masalah sebagaimana generasi lebih tua ada berhubung Singapura. Itu satu perkembangan positif... Saya rasa Singapura harus sedar perkara itu dan mereka (para pemimpin muda) memang hargai Singapura dalam banyak sudut.

"Saya melihat sudah ramai yang datang ke sini untuk memahami tentang Singapura, apa yang boleh mereka pelajari daripada Singapura. Tapi ini generasi yang berlainan. Jadi mereka pelajari apa yang boleh," kata Dr Ooi, yang sebelum ini pernah menjadi Timbalan Pengarah ISEAS - Institut Yusof Ishak di Singapura.

Beliau bagaimanapun akur akan ada sedikit kegenjotan di sana sini dalam hubungan dua hala, namun semua itu "akan berlalu", hujah beliau. Lantaran itu, Singapura kata Dr Ooi, "perlu mengamalkan sedikit kesabaran kerana Malaysia sedang 'memandang ke dalam' buat masa ini".

BAGAIMANA BELANJAWAN VERSI PH NANTI?

Mengulas tentang Belanjawan 2019 Malaysia pula, yang akan dibentangkan tidak lama lagi iaitu pada 2 November ini, Dr Ooi berkata negara itu sedang dalam mod "mengawal kerosakan".

Maka itu, belanjawan pertama Pakatan Harapan masih akan dipengaruhi oleh isu-isu reformasi institusi atau huraian-huraian bagi isu-isu dalam negara.

Namun demikian, bagi tempoh pertengahan, dengan jangkaan harga minyak akan naik, Dr Ooi berkata prospeknya adalah baik bagi Malaysia kerana negara itu ada ramuan-ramuannya untuk bergerak ke hadapan.

Seminar yang dianjurkan oleh Institut Ehwal Antarabangsa Singapura itu dihadiri oleh hampir 40 pakar industri dan pemimpin korporat dari sektor perbankan, kewangan dan pelaburan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan