Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemimpin generasi keempat akan dampingi rakyat untuk carta hala tuju S'pura secara bersama, kata Heng Swee Keat

Para pemimpin generasi keempat Singapura akan memulakan satu siri perbincangan bagi mendampingi semua segmen masyarakat dan mendapatkan pandangan mereka yang pelbagai mengenai hala tuju negara, kata Menteri Kewangan Heng Swee Keat di Parlimen hari ini (18 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 May 2018 05:35PM Dikemas Kini : 18 May 2018 10:44PM

SINGAPURA: Para pemimpin generasi keempat Singapura akan memulakan satu siri perbincangan bagi mendampingi semua segmen masyarakat dan mendapatkan pandangan mereka yang pelbagai mengenai hala tuju negara, kata Menteri Kewangan Heng Swee Keat di Parlimen hari ini (18 Mei).

Menyifatkannya sebagai 'usaha yang melibatkan seluruh Singapura', perbincangan itu akan menyaksikan para pemimpin generasi keempat mengongsi idea-idea mereka, sambil mendapatkan pandangan dan maklum balas rakyat mengenai idea-idea mereka itu.

"Kami akan bekerjasama dengan rakyat Singapura sepanjang perjalanan ini bagi membina masa depan yang lebih baik untuk negara," kata Encik Heng.

"Pemimpin generasi keempat akan mendengarnya dengan penuh hormat dan rendah hati. Kami akan menimbangkan semua pandangan dengan minda yang terbuka dan menyesuaikannya dari masa ke semasa."

"Kami akan menerangkan rasional di sebalik keputusan kami dan menyampaikannya dengan jelas. Kami juga akan menyatukan rakyat dan memberi peluang kepada mereka untuk mengubah idea-idea yang baik menjadi tindakan yang konkrit," tambah beliau lagi.

Dengan lebih banyak perincian dan maklumat diberikan mengenai perbincangan-perbincangan itu, ia bermatlamat untuk mendampingi rakyat Singapura di pelbagai peringkat hidup dan segmen masyarakat.

"Melalui perbincangan-perbincangan kita, kami akan berkongsi idea-idea dan mendapatkan pandangan anda. Kami akan membina kepercayaan dan keyakinan terhadap Singapura dan memupuk semangat setiakawan dalam kalangan rakyat. Kami akan menggembeling tenaga dan menjalin kerjasama dengan setiap segmen masyarakat bagi memenuhi matlamat bersama," kata beliau lagi.

MENYERLAHKAN RAKYAT, MEMUPUK BUDAYA KERJASAMA, MEMBINA KEPERCAYAAN

Dalam ucapannya, Encik Heng memberi tumpuan kepada 2 'bahagian penting' yang akan menyatukan rakyat dan sama-sama membawa Singapura ke peringkat seterusnya.

Pertama ialah mengenai bagaimana Pemerintah akan terus menyerlahkan rakyatnya, yang disifatkan oleh Encik Heng sebagai isu penting yang seharusnya diberi perhatian oleh setiap pemimpin.

Ia bukan setakat nembantu rakyat menyara kehidupan mereka. Ia juga mengenai usaha menyokong rakyat meraih kehidupan yang lebih baik dan membuat perubahan pada kehidupan mereka, kata Encik Heng.

Pemerintah juga mesti terus mencari cara untuk menghormati, menggalak dan menyokong rakyat Singapura menghargai nilai-nilai yang cuba dipupuk.

Sebagai contoh, ini boleh dilakukan menerusi khidmat-khidmat seperti program-program pendidikan dan kedermawanwan Nilai-Dalam-Tindakan; platform-platform seperti Perikatan Inovasi Global dan peluang-peluang seperti Dana Singapura Kita untuk meraikan identiti kita, budaya dan semua perkara yang menjadikan rakyat Singapura istimewa.

Menyentuh tentang memupuk budaya yang menggalak kerjasama dan sikap saling hormat-menghormati dan membina kepercayaan, Encik Heng menegaskan bahawa adalah penting untuk 'mengekalkan Singapura sebagai kediaman yang istimewa untuk kita semua'.

"Singapura hanya akan dapat mengekalkan kedudukannya di persada dunia jika ia dapat terus menawarkan sesuatu yang istimewa dan selagi kita terus bersatu."

Merujuk kepada seruan Presiden Halimah Yacob untuk memupuk hubungan yang lebih kukuh antara rakyat dengan Pemerintah, Encik Heng berkata kerjasama ini 'mesti ikhlas dan tulus, sambil bersandarkan keyakinan dan kepercayaan antara satu sama lain dan dengan pihak-pihak berkepentingan yang memainkan peranan yang bermakna dan saling melengkapi antara satu sama lain.

Menurut Encik Heng, "Pemimpin generasi keempat komited untuk membina dan mengembangkan lagi kerjasama ini."

Encik Heng turut menarik perhatian bahawa orang ramai ingin tahu bagaimana kepimpinan generasi keempat akan dibentuk, idea-idea mereka, jalinan dan ikatan baru serta bagaimana kepimpinan generasi ini akan memanfaatkan masyarakat.

Ia juga menjangkaui kepimpinan politik, kata Encik Heng, yang turut menarik perhatian bahawa hubungan ini perlu dipupuk dan didakapi oleh setiap lapisan masyarakat, dari kesatuan dan dewan perniagaan kepada pertubuhan bukan pemerintah dan badan-badan amal.

Sambil memberikan contoh, Encik Heng turut menyentuh bagaimana sumbangan daripada para pemimpin perniagaan, kesatuan, ahli akademik berjaya "menyatukan dan menguatkan' Jawatankuasa Ekonomi Masa Hadapan dan kini Majlis Ekonomi Masa Hadapan.

Kerjasama dan kepercayaan ini mesti dijalin dan dipupuk menjangkaui Singapura, tegas Encik Heng.

Dengan Singapura mempengerusikan ASEAN tahun ini, ia akan memanfaatkan peluang ini untuk bekerjasama dengan negara-negara jiran dan menyumbang kepada ASEAN yang lebih bersepadu, inovatif dan berdaya tahan.

Sumber : CNA/AW/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan