Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemilik agensi pekerjaan bawa masuk amah bawah umur didenda S$8,500

Seorang pemilik agensi pekerjaan didenda S$8,500 pada Khamis (6 Dis) kerana membawa masuk dua remaja asing ke Singapura untuk bekerja sebagai pembantu rumah.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Dec 2018 05:23PM Dikemas Kini : 06 Dec 2018 11:05PM

SINGAPURA: Seorang pemilik agensi pekerjaan didenda S$8,500 pada Khamis (6 Dis) kerana membawa masuk dua remaja asing ke Singapura untuk bekerja sebagai pembantu rumah.

Sherlyn Tay Li Wen, 43 tahun, pemilik tunggal AG Employment Agency mengaku bersalah atas dua tuduhan melanggar syarat-syarat pelesenan pekerjaan.

Remaja terbabit masing-masing berusia 15 dan 18 tahun ketika itu. Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menetapkan bahawa para pekerja asing di Singapura perlu berusia sekurang-kurangnya 23 tahun.

Siasatan mendapati dua remaja berkenaan mendapatkan bantuan seorang ejen di Myanmar untuk mendapat pekerjaan di Singapura.

Wanita terbabit, bernama Esther, merakam video bagi setiap seorang sambil mengarahkan mereka untuk mengakui usia mereka adalah 24 tahun. Video itu kemudian dikirimkan kepada Tay atas urusan perniagaan. Esther juga mengaturkan pasport-pasport baru bagi dua remaja itu, di mana tarikh lahir palsu disertakan.

Selepas menerima video-video itu, agensi pekerjaan tersebut berjaya menemui bakal majikan bagi mereka dan meneruskan pemohonan untuk mereka bekerja di Singapura.

Tay tidak mewawancara dua remaja berkenaan apabila mereka tiba di Singapura pada 5 Nov 2018.

Sebaliknya, mereka secepatnya dihantar untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan Program 'Penyesuaian' (SIP), satu program orientasi sehari yang perlu dijalani para amah yang baru pertama kali bekerja di Singapura.

Semasa program itulah, pihak MOM mencurigai umur sebenar mereka disebabkan penampilan masing-masing. Mereka kemudian disoal para pegawai MOM.

MOM mendapati agensi pekerjaan itu juga gagal memastikan para pembantu rumah asing memenuhi syarat umur, meskipun berkali-kali diingatkan kementerian supaya kekal berwaspada. Ia turut mendedahkan bahawa Tay tahu mereka seharusnya diwawancara sebaik sahaja tiba di Singapura.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan