Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemilik agensi amah didenda S$5,000 kerana bawa masuk budak bawah umur

Pemilik tunggal agensi amah yang membawa masuk seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dari Myanmar untuk bekerja sebagai amah di sini dikenakan denda maksimum S$5,000 pada Khamis (12 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemilik agensi amah didenda S$5,000 kerana bawa masuk budak bawah umur

(Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 12 Jul 2018 04:33PM Dikemas Kini : 12 Jul 2018 04:36PM

SINGAPURA: Pemilik tunggal sebuah agensi amah yang membawa masuk seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dari Myanmar untuk bekerja sebagai amah di sini dikenakan denda maksimum S$5,000 pada Khamis (12 Jul).

Pada Julai tahun lalu, Khor Siew Tiang, 35 tahun, pemilik tunggal Vista Employment Services, membuat permohonan untuk membawa masuk seorang pembantu rumah berusia 13 tahun.

Usia Htet Htet Phyo Wai diisytiharkan sebagai 23 tahun, iaitu usia minimum yang ditetapkan bagi pembantu rumah asing oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 2005.

Seorang pemeriksa pekerjaan dari MOM menjalankan siasatan pada Ogos tahun lalu selepas menerima maklumat mengenai kes tersebut.

Khor, yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak, mengaku bersalah hari ini kerana gagal memastikan pembantu rumah itu memenuhi had usia yang ditetapkan.

Peguam bela mengusulkan denda antara S$2,000 dengan S$4,000, sambil menambah bahawa Khor baru sahaja melahirkan anak bongsunya ketika kesalahan itu dilakukan.

Beliau menambah bahawa tarikh lahir yang tertera pada pasport pembantu rumah itu adalah salah, dan remaja perempuan itu lebih tinggi berbanding wanita-wanita di Myanmar yang pernah Khor temui.

Peguam bela itu turut mengatakan bahawa Khor tidak faham bahasa remaja Myanmar itu dan ini merupakan kali pertama dia melanggar undang-undang. Selain itu, lesen agensinya juga sudah digantung.

Hakim Daerah Adam Nakhoda berkata, "Tiada alasan bagi dia untuk mengatakan bahawa dia tidak faham bahasanya dan perlu bergantung kepada rakan sejawatannya di Myanmar. Ini kerana ia menjadi tanggungjawabnya sebagai ejen pembantu rumah."

Khor tahu bahawa sebagai pemegang lesen, dia perlu melakukan beberapa pemeriksaan untuk memastikan pembantu rumah yang dibawa masuk memenuhi had usia yang ditetapkan.

Namun, Khor tidak melakukan pemeriksaan dan tidak mengadakan sebarang temu duga untuk bertanya tentang latar belakang keluarga, usia, pendidikan dan pengalaman kerja remaja itu.

Sebaliknya, dia setakat bergantung kepada maklumat yang tertera pada biodata remaja itu yang diberikan oleh ejennya di Myanmar, dan juga pasportnya yang menunjukkan tarikh lahir yang salah.

Hakim mengatakan bahawa tindakan Khor "menyebabkan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dibawa masuk ke Singapura."

"Ia 10 tahun lebih muda daripada usia yang ditetapkan MOM," katanya. "Remaja ini masih terlalu muda. Saya melihat tindakan ini sebagai sesuatu yang tidak disengajakan. Namun, ia merupakan kegagalan untuk menjalankan pemeriksaan yang sewajarnya."

Khor dijatuhi hukuman denda S$5,000, iaitu jumlah yang diusulkan oleh pihak pendakwa. Khor boleh dipenjarakan selama enam bulan.

Remaja perempuan itu sudah dihantar pulang ke Myanmar dan diharamkan daripada mencari kerja di Singapura.

Sumber : CNA/KN/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan