Images
  • winner main
    Antara pemenang peraduan BERITAmediacorp yang dapat menyaksikan NDP secara langsung hari ini (9 Ogos). 

Pemenang kuiz NDP BERITAmediacorp kongsi pengalaman di Pentas Terapung Marina Bay

SINGAPURA: Para pemenang kuiz NDP dan peraduan media sosial BERITAmediacorp, merupakan antara 27,000 penonton yang menyaksikan perbarisan Hari Kebangsaan di Pentas Terapung Marina Bay hari ini (9 Ogos).

Bagi Cik Salmah Adam dan suaminya, ini bukan kali pertama mereka menjejakkan kaki di Pentas Terapung Marina Bay sempena Hari Kebangsaan. Namun, rasa teruja itu tetap membara kerana mereka menjangkakan kelainan.


Manakan tidak, sewaktu pertama kali ke pentas itu, mereka hanya menyaksikan pranonton NDP dan bukan acara sebenar.

"Saya nantikan kehadiran Presiden wanita Melayu pertama Puan Halimah Yacob. Saya juga ghairah untuk melihat aksi Red Lions. Mestilah bunga api juga," kata Cik Salmah.

SEMPAT KELIRU TENTUKAN SIAPA TONTON NDP


Bagi Rafidah Subhan pula apabila mendapat tahu beliau memenangi peraduan NDP BERITA, beliau rasa berbelah hati untuk menentukan anak buahnya yang mana satu untuk diajak sama. Ini memandangkan pasangan kembar itu sama-sama menyumbang suara dalam pembikinan video nyanyian mereka bagi peraduan di media sosial BERITA.

Lebih mencabar lagi, ini adalah peluang pertama bagi kedua-dua kanak-kanak itu menyaksikan NDP secara langsung.


"Jadi saya memberikan mereka sedikit masa untuk memberi saya kata putus mana antara mereka yang menyertai saya untuk menonton NDP ini," ujar Cik Rafidah.

Nyata, tidak mengenal usia, sambutan ulang tahun negara membangkitkan semangat luar biasa anak watan yang mengharapkan Singapura lebih makmur dan bersatu hati. 

- BERITAmediacorp/aq

Top