Images
  • oBike
    Basikal oBike yang ditinggalkan di tepi pejalan kaki. 

Pembubar oBike gesa pelanggan terjejas buat tuntutan wang pendahuluan secara online

SINGAPURA: Pelanggan oBike yang masih belum mendapat balik wang pendahuluan mereka digesa membuat tuntutan secara online agar pihak pembubar dapat "meneliti dan menilai semua tuntutan yang diterima", menurut Persatuan Pengguna Singapura (CASE) pada Khamis (12 Jul).

Pembubar oBike mengumumkan yang tuntutan tersebut perlu diserahkan "secepat mungkin" menerusi www.obikedepositholders.com, menurut catatan Facebook CASE.

Pelanggan yang terjejas patut menyerahkan tuntutan bersama dokumen sokongan relevan seperti kenyataan kad kredit atau PayPal, menurut CASE lagi.

CASE turut menambah bahawa individu yang kurang pasti mengenai proses tuntutan boleh menghubungi persatuan itu bagi pertolongan lanjut.

Pada Isnin, Menteri Negara bagi Pengangkutan Janil Puthucheary berkata di Parlimen bahawa pihak pemerintah "mungkin" membuat aduan polis terhadap oBike jika syarikat itu gagal memulangkan wang pendahuluan wajib tersebut kepada pelanggan di Singapura.

Komen Dr Puthucheary itu menyusuli kenyataan pembubar oBike, FTI Consulting pada Jumaat lalu bahawa ia akan berhubung dengan pihak pengurusan oBike untuk "membincangkan sama ada mereka berhasrat" memulangkan wang pengguna.

"Saya ingin menekankan sekali lagi ia menjadi tanggungjawab oBike untuk melakarkan rancangan jelas untuk mengembalikan wang pendahuluan pengguna dan mengalihkan basikal-basikal dari tempat awam," tambah Dr Puthucheary di Parlimen pada Isnin.

Pengerusi syarikat itu Shi Yi memberitahu Mediacorp Rabu lalu bahawa wang pendahuluan yang pihaknya masih berhutang kepada pengguna di Singapura bernilai US$4.6 juta (S$6.3 juta). Beliau menekankan oBike sedang "secara proaktif mencari huraian untuk memulakan proses memulangkan wang pendahuluan".

- CNA/TQ/tq

Top