Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemberhentian pekerja terendah dalam 5 tahun; kadar pengangguran penduduk turut merosot

Pasaran buruh Singapura bertambah baik pada suku pertama 2018. Pemberhentian pekerja lebih rendah dan kadar pengangguran penduduk Singapura merosot ke paras terendah sejak Mac 2016.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemberhentian pekerja terendah dalam 5 tahun; kadar pengangguran penduduk turut merosot

Para pekerja di Raffles Place. (Gamba hiasan: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 13 Jun 2018 03:40PM Dikemas Kini : 13 Jun 2018 03:45PM

SINGAPURA: Pasaran buruh Singapura bertambah baik pada suku pertama 2018, dengan pemberhentian pekerja yang lebih rendah dan kadar pengangguran penduduk Singapura yang merosot ke paras terendah sejak Mac 2016, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Rabu (13 Jun).

Menurut laporan terbaru pasaran buruh, kadar pengangguran di kalangan penduduk dan kadar pengangguran jangka panjang merosot pada bulan Mac.

Jumlah pemberhentian pekerja juga jauh lebih rendah dan lebih banyak kerja kosong dalam tiga bulan pertama tahun ini.

Bilangan pemberhentian pekerja dalam suku pertama tahun ini juga lebih rendah berbanding suku keempat tahun lalu, iaitu 2,320 berbanding 3,680. Pengurangan pekerja juga berada di paras terendah sejak suku pertama 2013, iaitu 2,120.

Menurut MOM, kemerosotan lebih luas itu merangkumi sektor pengilangan, binaan dan perkhidmatan dan punca utama di sebalik pengurangan pekerja itu adalah penyusunan semula syarikat dan perniagaan masing-masing.

Kadar pengambilan semula pekerja bagi penduduk yang diberhentikan kerja turun sedikit kepada 61 peratus dalam suku pertama berbanding 63 peratus pada suku sebelumnya.

Kemerosotannya lebih ketara dalam kalangan Karyawan, Pengurus, Eksekutif dan Teknisyen (PMET), pemegang diploma dan kelayakan posmenengah serta mereka yang berusia antara 30 hingga 39 tahun, menurut MOM.

Dalam pada itu, kadar pengambilan semula pekerja meningkat bagi mereka yang berusia bawah 30 tahun, berusia 50 tahun dan ke atas dan bagi mereka dengan kelayakan sekolah menengah atau lebih rendah dari itu.

KEMEROSOTAN PADA KADAR PENGANGGURAN PENDUDUK

Kemerosotan pada kadar pengangguran penduduk disebabkan oleh mereka yang berusia 30 tahun dan ke atas dan mereka yang berkelulusan posmenengah dan memiliki ijazah, menurut laporan itu.

Pengangguran jangka panjang juga merosot pada suku ini, dengan "kemerosotan yang ketara" pada jumlah pemberhentian pekerja dan lebih kerja kosong, menurut MOM.

Berdasarkan penyesuaian musiman, kadar pengangguran secara keseluruhannya merosot 2.1 peratus pada Disember 2017 berbanding 2 peratus pada Mac tahun ini dan bagi penduduk pula, susut dari 3 peratus kepada 2.8 peratus dan kekal tidak berubah bagi rakyat tempatan, iaitu pada kadar 3 peratus.

Sementara itu, pengambilan pekerja, tidak termasuk pembantu rumah asing, naik sedikit. Peningkatan sebanyak 400 itu jauh berbeza berbanding kemerosotan yang dialami pada suku pertama 2017.

Menurut MOM, pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan diimbangi oleh kemerosotan pada jumlah pemegang permit kerja dalam sektor binaan dan limbungan kapal.

MOM menjangkakan permintaan buruh secara keseluruhannya akan meningkat, meskipun tidak rata bagi semua sektor.

MOM menyatakan, peluang pekerjaan akan disediakan dalam sektor kewangan dan insurans, infokom dan media, jagaan kesihatan, khidmat profesional, logistik dan perdagangan borong. Pengambilan pekerja diramai lebih berhemah dalam sektor binaan dan limbungan kapal.

Bagi mengekalkan pengangguran pada paras yang rendah, MOM turut mendedahkan bahawa adalah penting untuk mempersiapkan para pekerja dan syarikat-syarikat perusahaan supaya lebih 'tangkas dan responsif terhadap penyusunan semula ekonomi dan landskap pekerjaan yang kian berubah-ubah.

"MOM dan Agensi Tenaga Kerja Singapura akan menyokong para pekerja untuk terus meningkatkan kemahiran mereka bagi merebut peluang baru menerusi Inisiatif Suai-Maju, sambil membantu syarikat-syarikat perusahaan berinovasi dan merubah melalui Skim Pembangunan Perusahaan Untuk Lebih Berkesan (LED) dan Program Pindahan Keupayaan (CTP)," menurut MOM.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan