Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembelajaran bahasa ibunda harus galak penggunaan sebagai kebiasaan harian

Menjadikan pembelajaran seronok dan relevan, kunci dalam membantu para pelajar menjadikan bahasa ibunda, bahasa yang digunakan dalam kehidupan seharian mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menjadikan pembelajaran seronok dan relevan, kunci dalam membantu para pelajar menjadikan bahasa ibunda, bahasa yang digunakan dalam kehidupan seharian mereka.

Justeru, Menteri Kewangan, Encik Heng Swee Keat menggesa guru-guru bahasa Ibunda supaya terus mengikuti perkembangan pendidikan sejajar dengan usaha pemerintah untuk memartabatkan dwibahasa di sini.

Encik Heng berkata demikian di acara Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB). Lima guru Bahasa Melayu diiktiraf dalam penyampaian AGAB ke-12 hari ini (10 Nov).

PERANAN DWIBAHASA DALAM MASYARAKAT MAJMUK

(Gambar: Ummu Rabbisyfina Abdul Hamid)

Encik Heng berkata penggunaan dwibahasa dalam konteks majmuk Singapura penting dalam memenuhi keperluan pembangunan negara.

Melihat kepada keperluan ini, pemerintah membangunkan Dana Dwibahasa Lee Kuan Yew untuk membangunkan pendidikan interaktif terhadap ketiga-tiga bahasa Ibunda, bermula dari tahap prasekolah lagi.

Malah, menurutnya lagi 50 pusat prasekolah Kementerian Pendidikan (MOE) akan menawarkan pengajaran bahasa ibunda bermutu termasuk Bahasa Melayu, dalam masa lima tahun akan datang.

GURU BAHASA IBUNDA PERLU HARUS PERTINGKATKAN DIRI

Encik Heng menambah, projek itu tidak akan berhasil tanpa kurikulum dan tenaga guru bahasa ibunda yang cekap. Usaha untuk memantapkan lagi projek tersebut kata beliau terbukti berkesan.

Sebuah tinjauan dijalankan tahun ini terhadap kurikulum baru sekolah rendah yang diperkenalkan pada 2015.

Ia mendapati 96 peratus ibu bapa yang ditinjau berkongsi anak mereka gemar dan berminat terhadap pelajaran Bahasa Melayu di sekolah.

Bagi mengekalkan prestasi baik ini, Encik Heng menekankan guru bahasa ibunda tidak boleh leka malah perlu cekap dalam mempertingkatkan diri, bagi membentuk persekitaran pembelajaran yang berkesan.

"Sebagai pendidik, anda perlu mengikuti perkembangan pendidikan dan perubahan-perubahan terhadap persekitaran bahasa yang berubah, untuk memastikan anda kekal relevan.

"Sebagai seorang pendidik bahasa Ibunda, mengasah kemahiran adalah kunci utama. Ia mengupaya anda untuk membina pengalaman pembelajaran bagi para pelajar, menjadikan bahasa sebagai bahasa yang hidup, di sekolah dan menjangkau kawasan itu," katanya lagi.

DR FAISHAL: TINJAUAN MENCERMINKAN KEBERKESANAN PEMBELAJARAN

Memuji usaha berterusan oleh tenaga pengajar, Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pendidikan, Profesor Faishal Ibrahim menggambarkan tinjauan itu sebagai satu pencapaian baik bagi pendidikan Bahasa Melayu di sini.

"Apa yang dikongsi oleh Menteri Heng tadi menunjukkan bahawa apa yang memikirkan selama ini dan membangunkan, mengemaskini tentang kurikulum kita, telah membuahkan hasil.

"Justeru saya mahu meneruskan usaha ini bersama dengan rakan-rakan saya di MOE, dan juga di peringkat masyarakat juga di mana kita mahu anak-anak Melayu kita memikirkan bahawa Bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang relevan," tambahnya yang juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

Dr Faishal turut menggesa ibu bapa untuk memainkan peranan dalam mempertingkatkan pembelajaran Bahasa Melayu di rumah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/UR/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan