Images
  • Taxi driver
    Petikan gambar dari video yang menunjukkan insiden di mana seorang pemandu teksi melanggar seorang warga tua.

Pemandu teksi dipecat langgar lelaki tua ketika undur kenderaan

SINGAPURA: Seorang pemandu teksi ComfortDelGro yang melanggar seorang warga tua berusia 75 tahun ketika mengundurkan kenderaannya di tempat meletak kenderaan di Eunos sudah diberhentikan kerja, menurut syarikat teksi itu hari ini (17 Apr).

Menurut polis, kejadian itu berlaku di Blok 7 Eunos Cresent sekitar 9.00 pagi Ahad lalu (15 Apr).

Rakaman kamera dalam kenderaan atau dashcam, yang dikongsi meluas di media sosial, menunjukkan seorang lelaki warga tua membawa beberapa beg plastik melintas sebuah tempat meletak kenderaan. Sebuah teksi ComfortDelGro kemudian bergerak mengundur ke belakang dan melanggarnya.

Polis menyatakan lelaki tersebut dibawa ke Hospital Besar Changi, dalam keadaan sedar dan siasatan masih dijalankan.

Menjawab pertanyaan media, pegawai perhubungan korporat ComfortDelGro Tammy Tan berkata: "Ini merupakan satu kemalangan teruk yang boleh dielakkan jika pemandu memberikan tumpuan yang lebih dan berhati-hati. Kami sudah menamatkan perjanjian pekerjaannya serta merta dan akan membantu pihak polis dalam siasatannya."

Lelaki tersebut dibenarkan keluar hospital, kata beliau, dan ComfortDelGro sudah menghubunginya.

"Keutamaan kami adalah kebajikan pejalan kaki dan kami berasa lega beliau sudah dibenarkan pulang ke rumah. Kami sedang cuba untuk menghubunginya dan keluarga beliau dan akan membantu sebaik mungkin."  

- CNA/FA/nk

Top