Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu sebabkan kematian pejalan kaki dipenjara 3 bulan, dilarang memandu 5 tahun

Semasa dalam perjalanan ke rumah ibu bapanya, Galistan, rakyat Singapura berusia 28 tahun, hilang kawalan keretanya dan melanggar seorang pejalan kaki.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu sebabkan kematian pejalan kaki dipenjara 3 bulan, dilarang memandu 5 tahun

Gambar fail.

Diterbitkan : 21 May 2018 04:57PM Dikemas Kini : 21 May 2018 04:58PM

SINGAPURA: Setelah berjaga sepanjang malam bersama rakan-rakannya, Galistan Aidan Glyn memandu kereta dari Seletar ke Stevens Road untuk menghantar mereka pulang sebelum dirinya sendiri pulang ke rumah ibu bapanya di Jurong West.

Semasa dalam perjalanan ke rumah ibu bapanya, Galistan, rakyat Singapura berusia 28 tahun, hilang kawalan keretanya dan melanggar seorang pejalan kaki.

Pejalan kaki berkenaan, Cik Serene Ng, 41 tahun dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal dan meninggal dunia pada hari yang sama.

Hari ini (21 Mei), Galistan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan tidak dibenarkan memandu selama lima tahun, setelah disabitkan dengan kesalahan menyebabkan kematian menerusi perbuatan cuai awal bulan ini.

Menurut dokumen-dokumen mahkamah, Galistan memandu di Jurong West St 42 pada pagi 25 Ogos 2017, apabila dia secara tiba-tiba hilang kawalan kenderaannya lalu terbabas ke atas bendul jalan dan melanggar Cik Serene yang baru sahaja menyeberang jalan.

Siasatan mendedahkan pada malam sebelum kemalangan itu berlaku, Galistan keluar bersama rakan-rakannya dan berjaga sepanjang malam, sebelum pergi ke sebuah kedai kopi berdekatan rumah kawannya yang terletak di Seletar untuk bersarapan sekitar pukul 6.45 pagi.

Selepas bersarapan, dia menghantar rakan-rakannya ke Seletar dan Stevens Road sebelum memandu ke rumah ibu bapanya.

Timbalan Pendakwa Raya Senthilkumaran Sabapathy menekankan bahawa Galistan memandu "pada jarak yang jauh dan masa yang agak lama" dalam keadaan kurang tidur.

Perbuatan itu sekaligus membahayakan nyawa para pengguna jalan raya yang lain, termasuk rakan-rakannya yang dihantar pulang.

Beliau juga menyifatkan insiden itu sebagai "bukan kes kecuaian biasa di jalan raya", sambil berkata bahawa Cik Ng baru sahaja menyeberang jalan dan berada di laluan pejalan kaki di mana kemalangan itu berlaku.

"Ini adalah tragedi yang sepatutnya boleh dielakkan dan kehilangan nyawa sebegini tidak seharusnya berlaku," kata beliau.

Galistan, yang meminta untuk bercakap di mahkamah, meminta maaf atas perbuatannya. Namun abang Cik Ng, Ng Chin Khoon, berasa hukuman yang dijatuhkan ke atas Galistan terlalu ringan.

Bercakap kepada para wartawan di luar mahkamah, beliau berkata Galistan sepatutnya diharamkan daripada memandu sepanjang hayat.

Menyifatkan adiknya sebagai "mesra dan ringan tulang", beliau berkata Cik Ng, yang merupakan pegawai awam, mengambil cuti kerja pada hari kemalangan itu untuk melakukan kerja-kerja sosial.

"Saya masih tidak boleh menerimanya," kata beliau. "Beliau (Cik Ng) adalah seorang yang berhati-hati." 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan