Images
  • eleanor
    Budak empat tahun meninggal dunia di hospital selepas terlibat dalam kemalangan. (Gambar: Jacelyn Wong/Facebook)

Pemandu dijel kerana sebabkan kematian budak 4 tahun dalam nahas Bukit Batok

SINGAPURA: Pemandu yang mengakibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut dalam satu kemalangan, hari ini (6 Dis) dijatuhi hukuman penjara enam minggu dan dilarang daripada memandu selama lima tahun. Dalam nahas tersebut, pembantu rumah kanak-kanak berkenaan turut tercedera.

Sai Mee Chun, 54 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan mengakibatkan kematian Eleanor Tan Si Xuan kerana tindakan cuai.

Tuduhan kedua bagi tindakan mengakibatkan amah 38 tahun cedera parah turut dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan ke atasnya.

Sai sedang memandu kenderaannya di Bukit Batok Central menghala ke Bukit Batok West Avenue 2, pada petang 9 Oktober tahun lalu. Dia sedang dalam perjalanan untuk bertemu dengan ayahnya.

Bekas pengurus kondominium itu memandu pada kelajuan 60km/j di sebatang jalan raya di mana had kelajuan ditetapkan pada 50km/j, kata pendakwa raya.

Sementara itu, mangsa sedang dalam perjalanan pulang dari pusat tadika, ditemani pembantu rumah keluarga, Cik Su Su Hlaing. Mereka tidak menggunakan jejantas berdekatan dan sebaliknya menyeberangi jalan raya tersebut, tambah pendakwa raya.

Meskipun memandu di jalan raya yang lurus, Sai gagal memandu dengan berhati-hati. Dia hanya menyedari dua mangsa tersebut sedang menyeberangi jalan apabila kenderaannya sudah sangat dekat dengan mereka.

Dua mangsa itu kemudian dilanggar dan tercampak ke jalan raya. Mereka dikejarkan ke hospital, di mana Eleanor disahkan mati akibat mengalami beberapa kecederaan.

Pembantu rumahnya dirawat di hospital selama hampir tiga minggu dan mengalami beberapa patah tulang.

Timbalan Pendakwa Raya Lee Zu Zhao meminta supaya Sai dikenakan hukuman penjara selama sekurang-kurangnya enam minggu dan dilarang memandu selama lima tahun.

Beliau berkata bahawa Sai memandu laju di jalan raya yang lurus, tanpa sebarang halangan, di mana banyak laluan trafik dijangkakan.

Peguam bela Sai, Choo Yean Lin, sebaliknya memohon supaya anak guamnya dipenjara empat minggu sambil menarik perhatian bahawa Sai tidak mabuk atau mengantuk ketika itu.

Dia juga sudah memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis, katanya, dan "menyebabkan satu nyawa terkorban semestinya akan kekal dalam ingatan buat selamanya".

Atas tindakan menyebabkan kematian mangsa, Sai boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya.  

- CNA/AQ/aq

Top