Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemaju hartanah turunkan harga untuk pikat pembeli

Dalam usaha untuk menarik lebih ramai pembeli, beberapa pemaju hartanah menurunkan harga jualan projek perumahan mereka sebanyak lima hingga 10 peratus, menyusuli langkah-langkah terbaru untuk menyejukkan pasaran yang berkuat kuasa pada 6 Julai.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemaju hartanah turunkan harga untuk pikat pembeli

Pemandangan perumahan privet dan awam di Singapura. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 15 Aug 2018 01:47PM Dikemas Kini : 15 Aug 2018 01:49PM

SINGAPURA: Dalam usaha untuk menarik lebih ramai pembeli, beberapa pemaju hartanah menurunkan harga jualan projek perumahan mereka sebanyak lima hingga 10 peratus, menyusuli langkah-langkah terbaru untuk menyejukkan pasaran yang berkuat kuasa pada 6 Julai.

Daintree Residence, projek kondominium pertama yang dilancarkan sejak langkah penyejukan itu.

Ia ditawarkan pada harga purata S$1,710 setiap kaki persegi (psf), apabila dibuka untuk jualan pada 28 Julai iaitu lima peratus lebih rendah berbanding S$1,800 psf yang diumumkan sebelum itu.

Encik Neo Keng Hoe, pengurus besar syarikat pemaju projek, SP Setia, berkata keputusan menurunkan harga pada hari pelancaran disebabkan keadaan pasaran selepas langkah penyejukan.

Bulan lalu, Pemerintah menaikkan Cukai Setem Tambahan Pembeli (ABSD) dan mengetatkan had Pinjaman Kepada Nilai Hartanah (LTV) bagi menyejukkan pasaran hartanah.

Projek The Tre Ver yang dilancarkan pada 4 Ogos pula, dijual pada harga purata S$1,550 psf, sekitar 10 peratus lebih rendah berbanding projek bersebelahan, Park Colonial, yang dijual pada harga purata S$1,750 psf sebelum langkah meredakan pasaran berkuatkuasa.

Beberapa emel yang diperolehi Mediacorp juga menunjukkan beberapa tapak hartanah menawarkan potongan harga untuk merangsang penjualan.

KURANGKAN KESAN

Para penganalisis hartanah yang dihubungi rata-rata bersetuju bahawa sebilangan syarikat hartanah menurunkan harga sebanyak lima hingga 10 peratus untuk mengimbangi kos pembelian yang lebih tinggi.

Dr Tan Tee Khoon, pengarah eksekutif syarikat perundingan hartanah Knight Frank, berkata: "Tawaran harga lebih rendah mengurangkan kesan masa dekat langkah-langkah penyejukan dan menggalakkan pembelian."

Para penganalisis menyatakan diskaun harga sebegini pernah ditawarkan pihak pemaju apabila pasaran dikenakan langkah-langkah penyejukan sebelum ini.

Potongan harga yang ditawarkan hampir setara dengan kenaikan ABSD yang dikenakan Pemerintah.

HARGA TIDAK MUNGKIN TURUN LAGI

Ketua penyelidikan di firma hartanah Huttons Asia Encik Lee Sze Teck pula menarik perhatian bahawa tidak semua pemaju hartanah perlu menawarkan potongan harga.

Ada yang berjaya menjual unit rumah berdasarkan lokasi, reka bentuk dan aturan rumah.

Kedua-dua Encik Lee dan Dr Tan juga percaya harga tidak akan turun lagi dalam masa bulan-bulan mendatang.

Ini disebabkan harga tanah dan kos binaan yang sudah ditetapkan.

Bulan lalu, URA melaporkan bahawa harga penjualan rumah privet naik 3.4 peratus pada April hingga Jun berbanding suku tahun sebelumnya.

Pengarah kanan penyelidikan dan perundingan di syarikat hartanah Savills Alan Cheong menjangkakan harga hartanah pada suku ketiga tahun ini akan lebih tinggi berbanding suku kedua, akibat "kesan peralihan".

Harga akan mula mendatar pada suku terakhir tahun ini, tambah beliau. 

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan