Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelan perumahan, jagaan kesihatan "komitmen asas" kepada rakyat S'pura

"Usaha berpandangan jauh" untuk mempertingkat perumahan awam dan jagaan kesihatan Singapura diumumkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan hari ini (19 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Pelan perumahan, jagaan kesihatan "komitmen asas" kepada rakyat S'pura

PM Lee Hsien Loong di Rapat Umum Hari Kebangsaan. (Gambar: TODAY/Jason Quah)

Diterbitkan : 20 Aug 2018 01:42AM Dikemas Kini : 20 Aug 2018 01:45AM

SINGAPURA: "Usaha berpandangan jauh" untuk mempertingkat perumahan awam dan jagaan kesihatan Singapura diumumkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan hari ini (19 Ogos).

Usaha-usaha bergagasan in, menurut PM Lee, adalah "komitmen-komitmen asas" Pemerintah untuk rakyat Singapura walaupun ia memerlukan perbelanjaan yang besar dan mengambil masa bertahun-tahun - "beberapa generasi dan banyak Pilihan Raya" - untuk merealisasikannya.

Ini dilakukan sedang tekanan-tekanan kos sara hidup meningkat, ditambah oleh kos perumahan, pendidikan dan jagaan kesihatan.

"Kos perumahan, pendidikan dan jagaan kesihatan adalah tiga bidang yang begitu diberi tumpuan oleh pemerintah," kata beliau. "Kami akan pastikan ia terus dalam kemampuan anda."

Memandangkan pendidikan, khususnya pendidikan prasekolah, diberi tumpuan dalam NDR tahun lalu, kali ini PM Lee memilih untuk memberi perhatian kepada jagaan kesihatan dan perumahan.

PERLUAS CHAS, LEBIH BANYAK POLIKLINIK

Bagi jagaan kesihatan, salah satu inisiatif yang diumumkan PM Lee adalah peluasan Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) untuk rakyat Singapura yang berpenyakit kronik tanpa mengira pendapatan mereka.

CHAS melayakkan para pemegang kad untuk mendapatkan subsidi-subsidi bagi rawatan pesakit luar dari doktor biasa (GP) dan ia untuk rakyat Singapura berpendapatan pertengahan dan rendah.

PM Lee merujuk pengalaman seorang AP Parti Tindakan Rakyat (PAP), Dr Lily Neo, yang menceritakan bagaimana warga tua yang mungkin enggan berjumpa doktor sehinggalah saat-saat akhir, kini berjumpa dengannya lebih awal disebabkan skim tersebut dan membolehkannya merawat mereka sebelum keadaan bertambah teruk.

"CHAS berjaya," kata PM Lee, sambil menambah bahawa semua orang menghargai bantuan walau sekecil mana sekalipun dengan bil perubatan yang biasa bagi penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi atau kolestrol tinggi.

Beliau berkata manfaat CHAS akan terus bergantung kepada pendapatan dan Kementerian Kesihatan (MOH) akan mengumumkan perinciannya pada satu tarikh kelak.

Beliau juga berkata pemerintah akan membina lebih banyak poliklinik di merata Singapura.

MOH sedang membangunkan dan menaik taraf poliklinik-poliklinik dan pusat-pusat perubatan merata Singapura, seperti di Punggol, Kampung Admiralty dan Ang Mo Kio dan akan ada kemudahan-kemudahan jagaan kesihatan di Sembawang, Eunos, Kallang dan Bukit Panjang menjelang tahun 2020, kata beliau.

Selain itu, di Nee Soo Central dan Tampines North pula, akan dibina poliklinik menjelang 2023, tambah PM Lee.

"Jadi kita akan mempunyai jagaan asas yang dimampui, mudah didapatkan dan bermutu tinggi di merata Singapura, " kata PM Lee.

HARGAI "GENERASI MERDEKA"

Selain inisiatif-inisiatif jagaan kesihatan yang lebih tertumpu, PM Lee juga ingin mengiktiraf satu lagi kumpulan rakyat Singapura yang sudah banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

Mereka adalah rakyat Singapura yang dilahirkan pada tahun 1950an - Generasi Merdeka, iaitu seramai 500,000 orang hari ini.

PM Lee mengakui bahawa apabila pemerintah memperkenalkan Pakej Generasi Perintis pada tahun 2014 bagi mereka yang dilahirkan pada tahun 1940 atau lebih awal dari itu, rakyat Singapura yang tidak dilahirkan pada tempoh tersebut mungkin terlepas manfaatnya.

Ia memberikan tokokan tahunan Medisave antara $100 dengan $200 bagi mereka yang dilahirkan antara tahun 1950 dengan 1959 tetapi tokokan Medisave tidak 'murah hati' seperti Pakej Generasi Perintis," tambah beliau.

Memandangkan kebanyakan daripada Generasi Perintis dalam lingkungan usia 60an hari ini dan sama ada sudah meninggalkan tenaga kerja atau akan bersara tidak lama lagi, PM Lee berkata mereka akan melihat simpanan CPF serta akaun Medisave mereka dan berasa bimbang sama ada ia mencukupi bagi keperluan perubatan sedang usia mereka meningkat.

"Saya rasa kita terhutang (budi) kepada mereka," kata PM Lee.

Oleh itu, beliau mengumumkan bahawa pemerintah akan melakar Pakej Generasi Merdeka, yang akan membantu kumpulan ini menampung pembiayaan perubatan mereka.

Ia akan meliputi aspek-aspek serupa seperti Pakej Generasi Perintis termasuk subsidi pesakit luar, tokokan Medisave, subsidi premium MediShield Hayat dan agihan bagi jagaan jangka panjang.

Beliau menambah pemerintah akan mengetepikan "peruntukan yang besar" bagi pakej tersebut dan perinciannya akan diumumkan tahun depan.

"Manfaatnya tidak semurah hati Generasi Perintis, yang terpaksa melalui pelbagai cabaran membangunkan negara," kata PM Lee.

"Namun Pakej Generasi Merdeka akan dapat sedikit sebanyak meredakan kebimbangan mereka terhadap jagaan kesihatan.

"Yang penting, ia akan menunjukkan penghargaan buat Generasi Merdeka dan sumbangan-sumbangan mereka."

PERTINGKAT RUMAH-RUMAH SEDIA ADA

PM Lee juga menarik perhatian bahawa perumahan merupakan satu lagi aspek yang membimbangkan ramai rakyat Singapura. Namun tidak seperti jagaan kesihatan, ia bukanlah satu "perkara mudah iaitu hanya dengan menurunkan harga kerana harga rumah menjejas orang dengan cara yang berlainan."

Beliau menjelaskan mengapa pemerintah memutuskan tempoh pajakan 99 tahun bagi flat-flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan bukan pegangan kekal.

"Kita perlu adil kepada generasi seterusnya. HDB menjual flat dengan tempoh pajakan 99 tahun kepada anda. Anda memilikinya dan boleh mewariskannya kepada dua atau tiga generasi akan datang," kata beliau.

"Setelah itu, flat tersebut dikembalikan kepada pemerintah untuk dibangunkan semula dan membina flat-flat baru bagi generasi masa depan.

"Ini satu-satunya cara untuk mengitar semula tanah dan memastikan keturunan kita boleh membeli sendiri Flat Bina Ikut Tempahan (BTO)."

Beliau juga mendedahkan rancangan untuk meluaskan Program Peningkatan Rumah (HIP) bagi perumahan awam yang dibina sehingga tahun1997. Ini bermakna ia akan memanfaatkan lagi 230,000 flat.

Bandar-bandar itu termasuk Pasir Ris, Yishun, Tampines dan Jurong. Skim asal meliputi flat-flat yang dibina sehingga tahun 1986.

Menurut PM Lee, HIP "begitu popular" sedang pemilik rumah mendapat penyenggaraan bagi isu-isu seperti penggelupasan konkrit, siling bocor dan kerosakan paip.

Bekalan elektrik juga dinaik taraf sedang lebih ramai keluarga memiliki alat hawa dingin, mesin basuh dan alat mobiliti peribadi.

Skim itu diberi subsidi yang tinggi, dengan pemerintah menampung sehingga 95 peratus kos dan penghuni akan membayar sekurang-kurangnya beberapa ratus dolar, kata beliau, sambil menambah harga rumah lazimnya melonjak selepas kerja-kerja peningkatan selesai dijalankan.

PM Lee menambah, selepas HIP, flat-flat boleh didiami bagi tempoh lagi 30 hingga 40 tahun. Ini bermakna ia akan berusia sekitar 60 hingga 70 tahun sebelum usia flat meningkat.

"Kami bertekad bagi memastikan perumahan awam kami tidak memburuk menjadi tempat tinggal yang kotor dan jelik, sepertimana yang berlaku di bandar-bandar lain," kata PM Lee, sambil mengumumkan pelaksanaan HIP II.

Kumpulan flat pertama akan berusia 60 hingga 70 tahun dalam tempoh sekitar 10 tahun dari sekarang dan itulah masanya Pemerintah akan melancarkan projek tersebut.

"Secara ringkas, setiap flat HDB boleh dijangka dinaik taraf dua kali sepanjang tempoh pajakan."

Naik taraf pusingan kedua ini adalah "komitmen kewangan yang besar" bagi Pemerintah, dengan HIP yang pertama menelan belanja lebih $4 bilion.

PM Lee berkata pusingan kedua mungkin menelan belanja lebih tinggi berbanding flat-flat yang usianya meningkat dua kali apabila mencecah tempoh tersebut.

Sungguhpun demikian, beliau menegaskan bahawa kos HIP II "memang wajar" dan pemerintah akan menjalankannya selagi Kementerian Kewangan mempunyai peruntukan dana yang diperlukan. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan