Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelan induk LTA untuk jadikan Berjalan, Mengayuh, Menaiki pengangkutan awam pilihan perjalanan

Dalam beberapa bulan akan datang, orang ramai boleh berkongsi pandangan mereka bagaimana untuk menjadikan Berjalan, Mengayuh, serta Menaiki bas dan kereta api sebagai pilihan perjalanan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelan induk LTA untuk jadikan Berjalan, Mengayuh, Menaiki pengangkutan awam pilihan perjalanan

(Gambar: Penguasa Pengangkutan Darat)

Diterbitkan : 19 Sep 2018 09:09PM Dikemas Kini : 20 Sep 2018 08:32AM

SINGAPURA: Dalam beberapa bulan akan datang, orang ramai boleh berkongsi pandangan mereka bagaimana untuk menjadikan Berjalan, Mengayuh, serta Menaiki bas dan kereta api sebagai pilihan perjalanan mereka.

Usaha mengumpul maklum balas itu akan dilakukan menerusi rundingan awam bagi Pelan Induk Penguasa Pengangkutan Darat 2040 (LTMP) yang dilancarkan siang tadi (19 Sep).

Bagi memulakan perbincangan awam ini, Menteri Negara Kanan Pengangkutan Dr Janil Puthucheary melancarkan satu dokumen perundingan awam yang menggariskan tiga tema bagi Pelan Induk pada masa akan datang.

Salah satu tema itu memberi tumpuan kepada bagaimana untuk menjadikan kegiatan Berjalan, Mengayuh, dan Menaiki bas dan kereta api sebagai pilihan perjalanan mereka.

Satu lagi tema pula tentang bagaimana untuk menjadikan pengangkutan ini lebih mudah dan inklusif dan bagaimana sebuah sistem pengangkutan darat dapat mempertingkatkan mutu kehidupan.

"Satu bahagian utama strategi kami kali ini adalah untuk menggabungkan panel penasihat kami, dan jikalau anda melihat kepada nama-nama mereka, mereka merangkumi para akademik, kami mempunyai pakar pengangkutan, kami mempunyai mereka yang bekerja dengan kesatuan buruh, pekerja pengangkutan.

"Kami mempunyai mereka yang mewakili masyarakat dan sudah tentunya pemerintah", menurut Dr Janil di majlis pelancaran dokumen perundingan awam itu.

Dr Janil menambah satu lagi strategi bagi rancangan ini ialah untuk memberikan perhatian bagaimana untuk menjadikan sistem pengangkutan sebagai sekitaran tempat kerja yang selamat.

Masyarakat Singapura boleh berkongsi rancangan mereka menerusi pemilihan elektronik dan perbincangan kumpulan fokus.

Rancangan mereka akan disemak oleh panel penasihat yang diketuai oleh Dr Janil.

Panel itu akan mendedahkan maklum balas yang telah dikumpulkan itu pada awal tahun depan.

Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong yang merupakan tetamu terhormat menyaksikan pelancaran itu selain turut membuka rasmi Galeri Mobiliti SG.

Galeri yang menelan belanja S$3.7 juta itu mempamerkan barang-barang pameran yang menggunakan teknologi realiti tambahan (AR), selain menampilkan pelbagai ciri lain yang turut menggunakan teknologi tinggi.

Malah, menariknya lagi ia turut menampilkan aspek kemudahan yang dinaik taraf pada masa kini dan akan datang, menjadikan lebih mudah bagi golongan kurang upaya untuk menaiki pengangkutan awam.

Galeri baru seluas 1,000 meter persegi di pejabat LTA di Hampshire Road itu dibuka dari Isnin hingga Jumaat dari jam 9.30 pagi hingga 5 petang.

Ia dinaik taraf daripada Galeri Pengangkutan Darat yang dibuka pada 2008 dan kali terakhir menjalani kerja-kerja peningkatan pada 2013. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan