Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar S'pura di Jordan tanyakan pelbagai soalan-soalan "sukar" kepada DPM Teo, Masagos

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menyatakan bahawa beliau ditanya banyak soalan-soalan sukar semasa satu sesi dialog dengan 160 pelajar Singapura di Jordan seperti Universiti Jordan dan Universiti Yarmouk.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Oct 2018 10:39PM Dikemas Kini : 16 Oct 2018 12:28AM

JORDAN: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menyatakan bahawa beliau, Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean dan Setiausaha Parlimen Kanan Tan Wu Meng ditanya banyak soalan-soalan sukar semasa satu sesi dialog dengan 160 pelajar Singapura di Jordan seperti Universiti Jordan dan Universiti Yarmouk.

Ini termasuklah soalan-soalan tentang nilai pendidikan Islam dalam sekitaran global sekarang dan sejauh mana para pelajar dari universiti pengajian ukhrawi relevan kepada ekonomi moden seperti Singapura.

Malah menurut Encik Masagos, mereka juga bertanya tentang perdebatan mengenai isu 377A dan berita palsu, serta juga peri pentingnya pilihan raya seperti di Malaysia dan Indonesia.

Menulis demikian di Facebook, Encik Masagos menyifatkan soalan-soalan tersebut sebagai "sukar tetapi bagus" serta memuji semangat ingin tahu dan kepetahan para mahasiswa Singapura itu.

(Gambar-gambar: MCI)

Beliau yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air menarik perhatian betapa para mahasiswa tersebut memahami tentang bagaimana gangguan ekonomi boleh menggangu aspirasi dan peluang-peluang pekerjaan mereka di Singapura nanti.

Lantaran itu, antara perkara yang dibincangkan dalam sesi tersebut yang berlangsung semalam (14 Okt), termasuklah bidang-bidang yang boleh diperbaiki golongan asatizah.

"Kami tekankan peranan-peranan penting yang mereka, selaku asatizah masa depan, mainkan dalam membimbing masyarakat ke hadapan. Dalam pada itu mengekalkan perpaduan agama kita yang berharga dan pembangunan negara.

"Saya menggalak mereka supaya merebut peluang-peluang ekonomi masa depan dan saya menantikan sumbangan-sumbangan mereka kepada negara dan inisiatif-inisiatif masyarakat seperti M³," himbau Encik Masagos. M³ adalah inisiatif yang menggembleng kekuatan dari Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Yayasan MENDAKI dan Majlis Penyelaras Kegiatan-Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA) demi manfaat masyarakat Melayu.

Encik Masagos, DPM Teo dan Encik Tan kini sedang dalam rangka lawatan lima hari ke Timur Tengah (12-15 Okt) dan melawat negara Jordan dan Mesir. Ini juga merupakan sesi dialog pertama Encik Masagos dengan para mahasiswa Islam Singapura di Timur Tengah selaku Menteri Ehwal Masyarakat Islam.

Antara mahasiswa yang bertanyakan soalan termasuklah Zahratur Rofiqah Mochamad Sandisi yang ingin tahu bagaimana golongan belia seperti beliau boleh menyumbang semula kepada masyarakat secara berkesan dan apakah cabaran-cabaran yang mungkin menyekat kemajuan pembangunan asatizah Singapura.

Seorang pelajar lain pula bertanya tentang "bagaimana untuk menangani Islamofobia". Menjawab pertanyaan tersebut, DPM Teo berkata bahawa para guru agama Islam boleh menangkis Islamofobia secara kolektif menerusi tindakan-tindakan mereka, tulis Encik Masagos.

Delegasi pemimpin Singapura itu yang disertai Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, Dr Albakri Ahmad, turut bertemu dengan Presiden Universiti Jordan, Professor Abdel-Karim Al-Qudah, dan mereka diberi taklimat tentang pelbagai program dan kurikulum pusat pengajian tinggi itu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/DY/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan