Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peguam didenda $10,000 gagal maklumkan urus niaga mencurigakan bagi hartanah Sentosa Cove

Seorang peguam pindah milik hartanah, Kang Bee Leng hari ini (17 Apr) didenda S$10,000 kerana gagal memaklumkan kepada pihak berkuasa tentang urus niaga mencurigakan

Anggaran Waktu Membaca:
Peguam didenda $10,000 gagal maklumkan urus niaga mencurigakan bagi hartanah Sentosa Cove

Sentosa Cove. (Gambar: Sentosa Cove / Facebook)

Diterbitkan : 17 Apr 2018 08:05PM Dikemas Kini : 17 Apr 2018 08:16PM

SINGAPURA: Seorang peguam pindah milik hartanah, Kang Bee Leng hari ini (17 Apr) didenda S$10,000 kerana gagal memaklumkan kepada pihak berkuasa tentang urus niaga mencurigakan melibatkan lebih $5 juta oleh seorang hartawan China untuk membeli hartanah di Sentosa Cove.

Ini, meskipun sudah timbul rasa curiga bahawa wang tersebut ada kaitan dengan skim penipuan bernilai berbilion dolar di China setelah membaca laporan tentang penangkapan anak guamnya.

Kang, 56 tahun, yang juga Pengarah Urusan Perbadanan Sterling Law mengaku bersalah atas tuduhan tersebut di mahkamah pagi tadi.

Dia boleh dikenakan denda sehingga S$20,000.

Seorang ejen hartanah, Tan Yen Hsi, merujuk Zhang Min kepada Kang pada bulan Oktober 2015.

Tan menyifatkan Zhang, yang merupakan Presiden dan CEO Yucheng International Holdings Group, sebagai "klien nilai tinggi".

Kang sepatutnya mewakili Zhang dalam urus niaga bagi membeli hartanah di Sentosa - 38 Lakeshore View - pada harga S$23.8 juta.

Kang bagaimanapun tidak pernah bertemu secara empat mata dengan anak guamnya itu.

Mereka berurusan menerusi kiriman emel, di mana Zhang memberikan dokumen-dokumen pengenalan diri, surat gaji dan rekod cukai pendapatan yang diperlukan untuk membeli hartanah itu.

Antara bulan Oktober dengan November 2015, Zhang membayar lebih S$5.4 juta untuk membeli hartanah tersebut, termasuk Opsyen untuk Membeli (OTP) sebanyak S$1,190,000, yuran pemindahan hak sebanyak S$12,581 kepada firma Kang dan cukai setem S$4,278,600 kepada Penguasa Hasil Mahsul Dalam Negeri Singapura.

Pada 12 Januari 2016, sehari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk menyelesaikan urus niaga membeli rumah, Kang mencuba menghubungi anak guamnya namun gagal.

Kang mendapati firma Zhang Yucheng Group sedang disiasat atas kesalahan penipuan berkaitan wadah pemiutang rakan ke rakan, Ezubao, dan Zhang sudah ditahan sejak 8 Disember 2015.

Meskipun sudah timbul rasa curiga bahawa wang yang digunakan Zhang untuk membeli hartanah di Sentosa Cove ada kaitan dengan skim yang didakwa satu penipuan, Kang gagal memaklumkan tentang urus niaga tersebut mahupun memfailkan Laporan Urus Niaga Mencurigakan.

Pada bulan Februari 2016 Jabatan Ehwal Komersil menerima maklumat tentang niat Zhang untuk membeli rumah di Sentosa Cove serta masalah undang-undang melibatkan dirinya di China. Satu siasatan yang dijalankan kemudian membawa CAD kepada Kang.

CAD merampas S$4.2 juta cukai setem yang dibayar kepada IRAS.

Tan, ejen hartanah Zhang, juga didakwa dan akan dihadapkan ke mahkamah hujung bulan ini. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan