Images
  • saf

Pegawai tetap SAF, Allahyarham Muhammad Sadikin maut dihempap dahan pokok di Brunei

SINGAPURA: Seorang pegawai tetap SAF meninggal dunia selepas beliau dihempap dahan pokok di Brunei pada Selasa (9 Okt).

Pegawai Waran Ketiga (3WO) Muhammad Sadikin Hasban, 33 tahun, sedang menyelia para kontraktor yang menjalankan kerja-kerja penyenggaraan di sebuah tapak pemindahan helikopter apabila insiden tersebut berlaku pada sekitar 8.30 pagi.

"Usaha-usaha bantuan pernafasan kardiopulmonari (CPR) dilakukan di tempat kejadian ke atas Encik Sadikin yang dalam keadaan tidak sedarkan diri," menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam satu kenyataan media.

"Seorang doktor SAF tetap berusaha memberikan bantuan pernafasan semasa dalam perjalanan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), menggunakan helikopter dan ambulans. Mereka tiba pada jam 9.57 pagi. Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 11.50 pagi."

Menurut MINDEF, ia sudah membuat persiapan bagi anggota keluarga Encik Sadikin diterbangkan ke Brunei. Jenazahnya akan dibawa pulang ke Singapura pada Rabu (10 Okt), dalam sebuah pesawat tentera.

"MINDEF dan SAF menyampaikan takziah mendalam kepada keluarga arwah 3WO Encik Sadikin. Pihak SAF sedang membantu keluarganya semasa masa sukar ini dan menyiasat insiden tersebut," menurut kementerian itu.

- CNA/NA/na

Top