Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegawai polis didenda cederakan bekas isteri semasa proses cerai

Seorang pegawai polis didenda S$2,000 kerana mencederakan wanita, yang ketika itu isterinya, dan melanggar Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) terhadapnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai polis didenda cederakan bekas isteri semasa proses cerai

(Gambar hiasan: Ngau Kai Yan)

Diterbitkan : 19 Dec 2018 09:37AM Dikemas Kini : 19 Dec 2018 09:38AM

SINGAPURA: Seorang pegawai polis didenda S$2,000 kerana mencederakan wanita, yang ketika itu isterinya, dan melanggar Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) terhadapnya.

Lelaki berusia 42 tahun itu tidak boleh dinamakan bagi melindungi identiti bekas isterinya. Dia juga sudah digantung tugas dengan Polis Pengawal Pantai.

Mahkamah diberitahu pesalah mengahwini isterinya, yang kini berusia 39 tahun, pada 2004. Mereka mempunyai tiga orang anak yang masing-masing berusia enam, 11 dan 12 tahun.

Namun, mereka sering bergaduh tidak lama selepas mendirikan rumah tangga, kata Timbalan Pendakwa Raya Nicholas Lai.

Mangsa membuat permohonan bagi PPO dan ia diluluskan oleh Mahkamah Keadilan Keluarga pada Ogos 2005, hampir setahun selepas bernikah.

Pasangan itu tinggal bersama tetapi semakin kerap bergaduh pada 2015 dan mula tidur secara berasingan pada Januari 2017.

Pada Oktober tahun itu, mangsa memfailkan permohonan cerai.

Sebulan kemudian, pada 3 Nov tahun lalu, pasangan itu bergaduh tentang kaca mata hitam yang hilang. Lelaki tersebut juga mendapat surat dari Mahkamah Syariah yang memaklumkannya tentang satu sesi kaunseling rumah tangga yang dijadualkan pada 13 Nov.

Mereka mula bergaduh dalam bilik anak mereka, dan lelaki itu tiba-tiba menggunakan jarinya untuk mencucuk bahagian sulit isterinya tanpa meminta izin, sehingga mengakibatkan mangsa mengalami rasa sakit.

"Mangsa terkejut dengan apa yang dilakukan tertuduh. Beliau memekik dan menyuruhnya keluar dari bilik dan tertuduh pun melakukan demikian," kata pendakwa.

Lelaki itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Piagam Wanita, dengan pertuduhan kedua turut dipertimbangkan ketika hukuman dijatuhkan.

Pendakwa meminta supaya denda bernilai S$2,000 dikenakan terhadapnya.

Encik Koh menambah bahawa anak guamnya sangat menyesal, dan tidak teragak-agak mengaku bersalah. Dia juga tidak lagi mempunyai ikatan perkahwinan dengan mangsa.

Pesalah masih memberi nafkah kepada ketiga-tiga anaknya, kata Encik Koh, dengan harapan hakim akan mengenakan denda kecil memandangkan anak guamnya "tidak berkemampuan".

Hakim Daerah May Mesenas mengenakan denda yang diminta, selepas Encik Koh meyakinkannya bahawa keganasan tidak mungkin berulang memandangkan pesalah dan bekas isterinya hanya berhubungan untuk membicarakan tentang urusan anak.

Atas kesalahan melanggar PPO, tertuduh boleh dipenjara sehingga enam bulan. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan