Images
  • dikir one
    Pasukan Politeknik Temasek juara dikir barat 'Piala Juara Serumpun' tahun ini.

Pasukan Politeknik Temasek juara dikir barat 'Piala Suara Serumpun' tahun ini

SINGAPURA: Mengekalkan budaya dan melestarikan bahasa Melayu menerusi pertandingan dikir barat. Semangat ini sudah dijalankan selama 10 tahun lamanya oleh kumpulan dikir barat, Andika Kencana, di sini.

Bagi menyambut ulang tahun ke-10 itu, kumpulan dikir itu bersama Pergerakan Bapa Sepanjang Hayat menganjurkan pertandingan besar-besaran dipanggil 'Piala Suara Serumpun' hari ini (15 Sep). Ia mengumpulkan lebih daripada 400 peserta daripada 19 pasukan dikir barat dari institusi pendidikan berbeza.

Turut hadir di acara tersebut sebagai tetamu terhormat ialah Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.


DR FAISHAL: SENI MASIH BERTAHAN DI S'PURA

Dalam memberikan ucapannya di acara itu, Dr Faishal menekankan tentang peranan seni Melayu iaitu secara khusus, dikir barat sebagai satu wadah yang baik untuk mengekalkan kerelevanan bahasa ibunda di sini.

Ini menurutnya dapat dicapai menerusi penghasilan seni kata yang baik yang sekali gus dapat memperkasa penggunaan bahasa.

Melihat kepada jumlah penyertaan pelajar daripada institusi pengajian tinggi seperti ITE dan NTU dalam pertandingan dikir barat pada tahun ini, Dr Faishal turut memuji usaha itu sambil menggambarkan mereka sebagai golongan yang memartabatkan seni Melayu di sini.

"Ini membuktikan bahawa dengan perancangan masa yang baik, kita mampu mengejar kemajuan akademik dan pada masa yang sama meluangkan masa dan tenaga untuk berbudaya.

"Harapan saya, semoga pada masa mendatang, kita dapat juga mengundang kumpulan-kumpulan dari maktab-maktab rendah untuk turut mengambil bahagian dalam pertandingan ini, " kata beliau lagi.

Acara tersebut turut memberikan penghormatan kepada Almarhum Cikgu Zaidy Nandir, salah seorang aktivis penting dalam dunia dikir barat tempatan yang banyak menyumbang kepakarannya kepada para penggiat dikir.

Bagi memberi penghargaan ke atas sumbangannya, acara itu mengumpulkan dana bagi Badal Haji atas nama beliau yang akan disalurkan kepada anggota keluarganya.

Johan 'Piala Suara Serumpun' dijulang oleh pasukan daripada Politeknik Temasek. 

- BERITAmediacorp/UR/ai

Top