Images
  • gravel hammer judge
    Gambar fail. (Gambar: AFP)

Pasangan adik beradik dipenjara dalam kes pengubahan wang haram

SINGAPURA: Sepasang adik beradik rakyat Singapura dijatuhi hukuman penjara selama 16 bulan semalam (11 Jan).

Ini atas kesalahan menerima dan melaburkan wang haram sebanyak AS$320,000 (S$425,376) bagi pihak sebuah sindiket yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Shaqilah Mohamad Rafie, 25 tahun, dan adiknya, Rausyan Sajjad Mohamad Rafie yang berusia 24 tahun masing-masing mengaku bersalah atas dua tuduhan menerima harta curian.

Ini dalam bentuk ratusan ribu dolar yang digelapkan oleh sindiket Malaysia itu daripada syarikat Faith Universal Investments Limited yang berpangkalan di Barbados.

Syarikat itu membuat aduan kepada Jabatan Ehwal Komersil Singapura pada 12 Mac tahun lalu.

Syarikat berkenaan menyatakan bahawa ia menerima emel palsu yang memintanya mengirimkan wang kepada Khoo Repairs, sebuah syarikat berdaftar di Singapura.

Sebanyak AS$150,000 (S$199,390) dan AS$170,000 (S$225,980) dikirimkan kepada syarikat Singapura itu pada 3 dan 7 Mac lalu.

Penipuan itu bermula apabila Shaqilah berpindah ke Kuala Lumpur untuk tinggal bersama seorang lelaki Nigeria yang dikenalinya dalam talian pada tahun 2015, menurut Mahkamah Daerah. Lelaki itu, Adewale Oladokun David, memberitahu Shaqilah dia adalah sebahagian daripada sindiket yang terlibat dalam pemerasan dan menjalankan "penipuan cinta di Alibaba dan penipuan online," tambah Timbalan Pendakwa Raya Magdalene Huang.

Adewale menggesa Shaqilah untuk membuka akaun bank Singapura untuknya, tetapi ini memerlukan "banyak dokumen yang tidak dapat diberikannya," kata pendakwa itu. Shaqilah meminta adiknya, yang ketika itu anggota NS sepenuh masa di Pasukan Pertahanan Awam Singapura.

Dia memberitahu adiknya mengenai Adewale dan sindiket itu, dan bertanya sama ada dia mempunyai kawan dengan akaun bank syarikat yang berminat untuk mendapatkan "wang cepat".

Rausyan mendekati rakannya, Nicholas Ryan Khoo, 22 tahun, yang bersetuju membenarkan akaun syarikatnya - Khoo Repairs - untuk digunakan oleh sindiket itu untuk menerima wang yang dicuri. Dia akan mengeluarkan wang itu dan menyerahkannya kepada Rausyan, yang kemudian menyampaikannya kepada Shaqilah.

Meskipun Shaqilah sudah meninggalkan Adewale ketika itu, dia tetap membantu menyampaikan wang tunai berkenaan kepada orang lain, yang akan membawanya ke Malaysia. Khoo memperoleh sekurang-kurangnya S$11,200, manakala adik-beradik itu kira-kira S$ 9,000.

Shaqilah, yang memperolehi kira-kira S$1,700, menghabiskan wangnya untuk membeli makanan dan pakaian. Rausyan menghabiskan bahagiannya - kira-kira S$7,300 dengan memberi kepada ibu bapanya, teman wanita dan ibunya, serta untuk perbelanjaan peribadi. Dia menyerahkan S$500 kepada CAD semasa siasatan, kata pendakwa itu.

Timbalan Pendakwa Raya Magdalene Huang memohon hukuman penjara selama 20 bulan bagi setiap tuduhan yang dikenakan terhadap pasangan adik beradik itu.

Shaqilah dan Rausyan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun bagi setiap tuduhan dan didenda kerana menerima harta curian. 

- CNA/SU/aq

Top