Images
  • smrt bus and taxi
    Bas dan kereta api SMRT. (Gambar: TODAY)

Parlimen: Khaw Boon Wan pantau pengendali MRT demi pastikan piawai khidmat dan rel dijaga

SINGAPURA: Dengan formula tambang pengangkutan awam yang baru akan mula dilaksanakan pada hujung tahun ini, ia tidak mengambil kira faktor keberkesanan dan piawai perkhidmatan, kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan hari ini (18 Mei). Maka itu beliau mendedahkan akan memastikan sendiri bahawa pengendali-pengendali pengangkutan mengekalkan piawai.

Encik Khaw berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Anggota Parlimen GRC Nee Soon Lee Bee Wah dan AP Tanpa Kawasan Undi Dennis Tan di parlimen, mengenai sama ada keberkesanan rel dan piawai perkhidmatan perlu dimasukkan di dalam formula tambang baru yang memastikan tambang penumpang pengangkutan awam.

"Walaupun ia tidak dikira di dalam formula baru, saya akan tanganinya sendiri dengan memberi tumpuan dan tekanan ke atas pengendali bagi memastikan keberkesanan rel kerana itulah keutamaan saya. Dan saya juga akan lihat sendiri untuk ia dilaksanakan, sama ada ia termasuk atau tidak di dalam formula tambang," kata Encik Khaw.

Encik Tan menyarankan agar komponen keberkesanan diterapkan ke dalam formula tambang bagi menghukum pengendali menerusi tambang yang lebih rendah kerana tidak menepati piawai.

Namun begitu, Encik Khaw berkata ini boleh memburukkan keadaan.

"Apabila sistem menjadi tidak berkesan, itulah masanya untuk memberikan lebih banyak sumber... dan jika anda menghukum mereka dengan tambang yang lebih rendah, anda menarik balik sumber-sumber dari pengendali, anda akan melakukan yang sebaliknya - perkara yang salah! Keberkesanan rel itu penting tetapi perlu ditangani secara berasingan," kata Encik Khaw.

Beliau memberi contoh program naik taraf dan penyenggaraan kejuruteraan di mana stesen-stesen MRT perlu ditutup lebih awal dan dibuka lewat. Ia dimulakan pada hujung tahun lalu. Encik Khaw berkata bahawa program tersebut sudah "menunjukkan hasil" dan mempertingkatkan keberkesanan Laluan Utara-Selatan.

Encik Khaw berkata bahawa formula tambang baru yang diumumkan pada Mac lalu menyertakan komponen baru, Faktor Muatan Rangkaian (NCF) yang menangani piawai perkhidmatan secara tidak langsung.

"Misalnya, jika tidak meluaskan rangkaian rel tetapi permintaan terus berkembang, sepertimana ia berlaku beberapa tahun lalu, yang menyebabkan kereta api sesak. Dengan itu NCF akan menjadi negatif. Ini bermakna jika semua keadaan adalah sama, PTC (Majlis Pengangkutan Awam) akan meminta untuk merendahkan tambang... Jika keadaan menjadi lebih baik dengan perjalanan yang lebih selesa tetapi harga semakin meningkat, faktornya akan jadi positif," kata Encik Khaw.

"Paras perkhidmatan mungkin tidak diambil kira secara langsung menerusi formula tambang tetapi pendapat mengenainya akan dikesan oleh saya dengan pantas, kerata Jurutera Lee Bee Wah akan memastikan bahawa saya memahami sepenuhnya apa yang berlaku dan saya memberikan tumpuan, bukan sahaja di Yishun tetapi di seluruh Singapura," tambah Encik Khaw.

Beliau menekankan bahawa mustahil untuk mempertingkatkan sistem pengangkutan awam tanpa memberikan sumber untuk merekrut lebih banyak tenaga manusia seperti pemandu bas dan kereta api, jurutera, teknisyen dan mekanik.

"Ini semua menggunakan wang dan saya berharap rakyat Singapura faham bahawa saya ingin lakukan kerja saya dengan baik supaya kita mempunyai sistem pengangkutan awam kelas pertama dan kita akan mencapainya tetapi saya perlukan wang kerana tidak realistik untuk mendapatkan kereta api kelas pertama dan berkesan tanpa memberikan sebarang sumber," kata Encik Khaw.

Dana harus disalurkan dari "pembayar cukai menerusi subsidi atau penumpang menerusi tambang," kata beliau, yang menambah bahawa PTC ditugaskan untuk mengimbangi kepentingan kedua-dua pihak.  

- CNA/FA/fa

Top