Images
  • dppms raya main photo
    (Gambar: Fariza Abdul Aziz/BERITAMediacorp)

Para peniaga SME bina rangkaian untuk kongsi pengalaman, garap peluang baru

SINGAPURA: Bagaimana untuk meneroka peluang baru serta memanfaatkan sebaiknya skim dan program yang disediakan pemerintah demi memacu perniagaan?

Itulah matlamat penting yang dibincangkan sekitar 100 peniaga dan usahawan dalam satu majlis perjumpaan Hari Raya anjuran Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) petang tadi (12 Jul).

Dalam acara anjuran bersama DPPMS ini, golongan karyawan niaga meliputi pelbagai industri saling berkongsi pengalaman dan selok-belok untuk menonjol dalam dunia bisnes yang banyak pasang surutnya.

ADAKAH BIDANG F&B KURANG POPULAR?

Masalah utama yang mereka akur sebagai mencabar adalah untuk menggajikan, melatih serta mengekalkan tenaga kerja yang kukuh lebih-lebih lagi dalam bidang makanan dan minuman (F&B).

Hal itu tidak disangkal Cef Haikal Johari, cef Melayu pertama setempat yang diiktiraf Michelin (1 Star).

Sepanjang lebih 20 tahun berkecimpung dalam bidang F&B, beliau beranggapan haluan itu kurang diceburi ramai kerana sifat tugasnya yang bukan sahaja berat malah kurang menyenangkan kerana perlu berhempas pulas di dapur.

"Selalunya, orang muda yang nak start dalam bidang F&B, terutama sekali dalam 'fine dining', mereka cuba-cuba dulu. Jadi saya beritahu mereka macam mana laluan kerjaya dulu. Jadi, mereka memahami apa yang mereka mahukan sebab kalau tidak, kalau dah seminggu dah masuk dalam bidang ini, mereka tak boleh tahan, mereka terus gulung tikar," kongsi Cef Haikal, seorang cef eksekutif di restoran Alma by Juan Amador.

Cef Haikal merupakan antara empat usahawan, selain Ummi Abdullah dan selebriti tanah air Syarif, yang diundang untuk berkongsi kisah-kisah inspirasi mereka dalam mengembangkan perniagaan.

"Kita akan mendengar maklum balas daripada ahli-ahli kami. Justeru, dapat kami mengolahkan program-program yang sesuai untuk mereka menerusi SMCCI dan SME Centre," ujar Encik Azhar Othman, pengerusi Pusat SME DPPMS.

Sambil menjalin rangkaian kerja dan menjamu selera, para hadirin turut menyumbang semula kepada masyarakat.

Wang $5,000 yang berjaya dikumpulkan hasil daripada penjualan tiket acara ini disalurkan kepada Madrasah Aljunied Al-Islamiah bagi menyokong pembangunan kebajikan dan pembelajaran para pelajar yang bakal lebih cenderung ke arah IT.

Mudirah madrasah tersebut, Cik Khairiana Zainal Abiden, menyatakan bahawa ia kini dalam rangka untuk melihat kembali dan memperbaiki kurikulum madrasah. Antaranya, kurikulum Bahasa Arab diajar dengan menggunakan iPad.

"Dengan adanya penggunaan iPad bagi setiap pelajar di madrasah, kita memerlukan prasarana IT yang kuat seperti WiFi dan sebagainya. Jadi, ini adalah sesuatu yang sangat berguna untuk kita membantu meningkatkan program penggunaan iPad di sekolah dengan menggunakan dana ini," ujar Cik Khairiana. 

- BERITAMediacorp/tq

Top