Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Para pemimpin Seoul, Beijing, Jepun, Rusia sambut baik hasil sidang puncak Trump-Kim

Para pemimpin dunia rata-rata memberikan reaksi positif dan menyambut baik pencapaian sidang puncak bersejarah antara Amerika Syarikat dengan Korea Utara hari ini (12 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Para pemimpin Seoul, Beijing, Jepun, Rusia sambut baik hasil sidang puncak Trump-Kim

Presiden AS Donald Trump memberi tanda jempol semasa pertemuan dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un. (Gambar: AFP/Saul Loeb)

Diterbitkan : 12 Jun 2018 10:04PM Dikemas Kini : 12 Jun 2018 10:18PM

SINGAPURA: Para pemimpin dunia rata-rata memberikan reaksi positif dan menyambut baik pencapaian sidang puncak bersejarah antara Amerika Syarikat dengan Korea Utara hari ini (12 Jun). Ini setelah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un bersetuju untuk melaksanakan pelucutan senjata nuklear sepenuhnya di Semenanjung Korea.

Dalam perjanjian yang dimeterai itu, Encik Trump juga komited untuk menawarkan jaminan keselamatan kepada Korea Utara.

KOREA SELATAN UCAP TAHNIAH

Presiden Korea Selatan Moon Jae-in hari ini berikrar untuk melakar "sejarah baru" dengan Korea Utara, sambil memuji keputusan pemimpin Korea Utara Encik Kim bagi mengadakan sidang puncak dengan Amerika Syarikat di Singapura.

"Saya mengucapkan tahniah yang mendalam dan mengalu-alukan kejayaan sidang puncak bersejarah Korea Utara-Amerika Syarikat," kata Encik Moon dalam kenyataannya.

(Gambar: AFP/Anthony Wallace)

(Gambar: AFP/Anthony Wallace)

"Perjanjian Sentosa pada 12 Jun akan dicatat sebagai acara bersejarah yang membantu menghapuskan saki baki peninggalan Perang Dingin di bumi ini," jelasnya.

Sehubungan itu, jurucakap Rumah Biru berkata: "Buat masa ini, kami perlu mencari makna atau niat sebenar kenyataan Presiden Trump."

CHINA ANGGAP "SEJARAH BARU" TERCIPTA

Menteri Luar China Wang Yi pula berkata langkah Encik Trump dan Encik Kim bagi mengadakan rundingan "mencipta sejarah baru."

"Amerika Syarikat dan Korea Utara tidak bersependapat dan juga bersikap bermusuhan antara satu sama lain selama lebih 50 tahun. Hari ini langkah pemimpin kedua-dua negara itu untuk duduk bersama dan menjalankan dialog sama rata memiliki kepentingan besar dan positif dan ia mencipta sejarah baru. China tentu sekali menyokongnya kerana inilah yang kami benar-benar alu-alukan dan apa yang kami usahakan.

(Gambar: AFP/Saul Loeb)

(Gambar: AFP/Saul Loeb)

"Kami berharap pemimpin kedua-dua negara itu dapat menghapuskan gangguan, mengatasi kesukaran dan dapat mencapai kata sepakat berhubung pelucutan senjata nuklear di semenanjung itu dan penubuhan mekanisme keselamatan di semenanjung tersebut.

"Tentu sekali, kami berharap dapat menyaksikan semua pihak relevan berusaha dari segi ini. China akan terus memainkan peranan membina kami."

JEPUN PUJI, "SOKONG USAHA INI"

Sehubungan itu, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe juga mengalu-alukan dokumen yang ditandatangani pemimpin Korea Utara di sidang puncak, yang julung-julung kali diadakan itu, dengan Presiden Amerika Donald Trump sebagai "langkah pertama" ke arah pelucutan senjata nuklear.

Semasa berucap beberapa jam selepas Encik Kim dan Encik Trump mengadakan rundingan bersejarah di Singapura, PM Abe mengatakan beliau berbesar hati presiden Amerika itu membangkitkan isu rakyat Jepun yang diculik Pyongyang.

"Melalui sidang puncak Amerika Syarikat-Korea Utara ini, niat Pengerusi Kim Jong Un bagi pelucutan senjata nuklear bagi semenanjung Korea disahkan dalam kenyataan," kata PM Abe kepada para wartawan.

REUTERS/Jonathan Ernst

(Gambar: REUTERS/Jonathan Ernst)

"Saya menyokong usaha ini sebagai langkah pertama kepada huraian menyeluruh terhadap isu yang melibatkan Korea Utara."

Encik Kim dan Encik Trump menandatangani dokumen selepas rundingan mereka, di mana pemimpin Korea Utara itu menegaskan komitmennya untuk "berusaha ke arah pelucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea", tanpa memberikan butiran lanjut.

RUSIA SEDIA BANTU LAKSANAKAN PERJANJIAN KOREA UTARA

Rusia hari ini turut memiliki penilaian positif ke atas perjanjian yang dimeterai antara Encik Trump dan Encik Kim, tetapi "niat sebenar terletak pada perinciannya", dedah agensi berita TASS sambil memetik Timbalan Menteri Luar Sergei Ryabkov.

"Sekarang kami hanya boleh mengalu-alukan bahawa satu langkah penting sudahpun dibuat. Tentu sekali niat sebenar terletak pada perinciannya, dan kami belum memeriksanya dengan teliti. Bagaimanapun, gerakannya, sejauh mana yang kami faham, sudahpun dibuat," kata Encik Ryabkov.

Rusia bersedia membantu melaksanakan perjanjiannya - bagi berusaha ke arah pelucutan senjata nuklear sepenuhnya di semenanjung Korea - dan harapan menghuraikan krisis nuklear akan melancarkan kerjasama ekonomi biasa, menurut agensi berita RIA sambil memetik Encik Ryabkov. 

AGENSI TENAGA ATOM ANTARABANGSA (IAEA)

Pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula mengalu-alukan kenyataan bersama Encik Trump dan Encik Kim yang ditandatangani hari ini dan menyatakan pihaknya bersedia menjalankan kegiatan pengesahan.

"Agensi Tenaga Atom Antarabangsa bersedia menjalankan sebarang kegiatan pengesahan di Korea Utara yang mungkin diminta dilakukan oleh negara-negara yang terlibat, bergantung kepada kelulusan Lembaga Gabenor IAEA," menurut Ketua Pengarah Yukiya Amano dalam kenyataannya. 

Sumber : Reuters/AFP/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan