Images
  • rlaf 1
    Bengkel Mewujudkan Impak Sosial Melalui Projek Kemanusiaan (Gambar: Facebook RLAF)
  • rlaf 2
    Para peserta di bengkel anjuran RLAF dan Mercy Relief (Gambar: BERITA Mediacorp)

Para pemimpin belia tingkatkan keupayaan untuk memulakan perkhidmatan kemanusiaan dan kemasyarakatan

SINGAPURA: 35 pemimpin belia dari lebih 10 kumpulan sukarelawan tempatan menghadiri bengkel khas anjuran Yayasan Rahmatan Lil 'Alamin (RLAF), hari ini (18 Feb) dan semalam.

Dinamakan Mewujudkan Impak Sosial Melalui Projek Kemanusiaan, bengkel ini diadakan buat julung-julung kalinya dengan kerjasama badan kemanusiaan tempatan, Mercy Relief

PERKASA BELIA CIPTA KESAN SOSIAL MELALUI PROJEK KEMANUSIAAN

Menurut RLAF, bengkel ini bertujuan memperkasakan belia dengan alat-alat dan prinsip kerja agar mereka dapat menganjurkan projek kemasyarakatan yang membawa kesan lebih mendalam dan mampan.

Bengkel sepanjang sehari setengah itu merupakan adaptasi daripada sebuah modul sepanjang 13 minggu yang ditawarkan di peringkat politeknik.

Menurut Pengurus RLAF, Muhd Izhar Mohd Roslan, antara initipati bengkel adalah mengajar belia cara lebih berkesan mengenalpasti keperluan masyarakat yang dibantu, serta meningkatkan kesan projek 'melalui rangka kerja yang efektif'.

BELIA DARI NGO BUKAN ISLAM TURUT BERI SAMBUTAN POSITIF

Bengkel disampaikan secara interaktif melalui sesi perkongsian, perbincangan dan aktiviti berkumpulan.

(Peserta bengkel dalam perbincangan berkumpulan - Gambar: BERITA Mediacorp)

Cik Nur Assurah Mohd Azam, peserta gerakan Majulah Community, berkongsi: "Dengan alat-alat yang diberikan oleh Mercy Relief, saya dapat membuat program dan kegiatan yang lebih baik untuk masyarakat.

"Saya juga dapat tahu tentang kesan yang sedang saya lakukan sekarang."

Pegawai Pembangunan Belia Masjid An-Nahdah, Encik Mohd Asysallehan Ali, pula berkata:"Dari sini kami didedahkan dengan pertubuhan-pertubuhan yang ada di Singapura ini, ruang-ruang yang telah disediakan untuk kami, dan bagaimana untuk membantu masyarakat di luar sana – bukan sahaja di Singapura tetapi juga di luar Singapura."

Encik Lee Zhong Han, pengasas perusahaan sosial Deviate.Asia, pula berkata, "Saya sertai bengkel ini kerana ingin belajar lebih lanjut tentang bantuan kemanusiaan dan pelbagai model kerja untuk melaksanakan projek kemasyarakatan. Antara lain, saya telah pelajari 'Theory of Change', yang saya boleh laksanakan bagi projek tempatan saya untuk pertingkatkan kesannya."

SEMANGAT BERKOBAR UNTUK MEMBANTU
Menurut catatan RLAF di lelaman Facebook acara ini, semua tempat yang ditawarkan bagi bengkel ini habis ditempah dalam masa kurang 24 jam, permohonan dibuka.

(Catatan RLAF sehari selepas pendaftaran bengkel dibuka - Gambar: Facebook RLAF)

Maka, tidak hairanlah, jika keghairahan yang ditunjukkan para peserta membuat para pelatih berasa kagum.

"Kami sangat terharu kerana mereka menunjukkan bersifat ingin tahu. Ada banyak pertanyaan tentang bagaimana mereka boleh memberikan kesan yang lebih mendalam untuk jangka masa yang panjang bagi pelanggan mereka yang berbilang kaum dan agama," ujar Cik Saleha Ali, pelatih bengkel yang juga Pengurus Program Antarabangsa Mercy Relief.

RLAF MAHU PERTINGKATKAN LAGI SIFAT KEPIMPINAN BELIA

Sejak 2010, RLAF telah mengagihkan geran berjumlah $904,400 bagi menyokong 47 projek kemanusiaan dan kemasyarakatan yang dikendalikan kumpulan belia.

"Pelan Yayasan Rahmatan Lil ‘Alamin untuk masa hadapan, selain memberikan geran untuk projek-projek kemanusiaan atau bakti sosial di Singapura dan di luar negara, kami ingin mendekati belia, kami ingin menaiktarafkan ataupun membina keupayaan mereka melalui bengkel, melalui sesi pertemuan dan sebagainya," kongsi Encik Izhar, Pengurus RLAF.

RLAF berharap projek-projek masa hadapan dapat terus mempertingkat sifat kepimpinan para belia yang terlibat, selain membawa kesan positif kepada masyarakat yang dibantu. 

- BERITAMediacorp/tz

Top