Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Panggilan gangguan ke talian 999 boleh jejas respons kecemasan sebenar

Setiap kali seorang operator talian kecemasan 999 menerima panggilan, ada kemungkinan 50 peratus si pemanggil sebenarnya tidak memerlukan bantuan kecemasan polis.

Anggaran Waktu Membaca:
Panggilan gangguan ke talian 999 boleh jejas respons kecemasan sebenar

Rafa'ah Hamzah, seorang pegawai perhubungan kecemasan dari Pasukan Polis Singapura. (Gambar: Jalelah Abu Baker)

Diterbitkan : 13 Oct 2018 01:02PM Dikemas Kini : 13 Oct 2018 01:18PM

SINGAPURA: Setiap kali seorang operator talian kecemasan 999 menerima panggilan, ada kemungkinan 50 peratus si pemanggil sebenarnya tidak memerlukan bantuan kecemasan polis.

Malah daripada 683,352 panggilan yang diterima pada separuh pertama tahun ini, 57 peratus bersifat gangguan atau bukan hal-hal urusan polis.

Trend yang sama juga dilihat tahun lalu, dengan 58 peratus daripada lebih sejuta panggilan yang diterima tidak memerlukan bantuan kecemasan polis.

PANGGILAN GANGGUAN MUNGKIN JEJAS RESPONS KECEMASAN

Penolong Superintenden Polis (ASP) Raja Mohamed Shahir Raja Mohamed Said, yang merupakan pegawai bertanggungjawab ke atas bilik operasi yang memberi respons terhadap panggilan 999, berkata bahawa panggilan bukan kecemasan menggunakan masa yang amat berharga.

Bercakap kepada Mediacorp di Pusat Komand Operasi Polis di Novena, ASP Shahir berkata setiap kali pihaknya menerima panggilan, para operator harus menggangap panggilan itu sebagai kes kecemasan, sama ada ia tulen atau tidak.

Kesan daripada tindakan pemanggil yang menghubungi 999 bagi hal bukan kecemasan mungkin serius.

"Bagi setiap panggilan gangguan yang kami terima, akan terdapat seorang lain yang menghadapi kecemasan sebenar yang terpaksa menunggu untuk panggilan mereka dijawab," kata ASP Shahir.

Beliau menerangkan bahawa setiap saat amat berharga. "Kami tidak inginkan keadaan di mana seseorang yang betul-betul memerlukan bantuan polis tidak dapat menghubungi hotline kami kerana para operator sibuk menjawab panggilan yang tiada kaitan dengan kecemasan polis," kata ASP Shahir.

Gambar ASP Raja Mohamed Shahir Raja Mohamed Said. (Gambar: Jalelah Abu Baker)

KANAK-KANAK MEMBENTUK SEBAHAGIAN PEMANGGIL BUKAN KECEMASAN

Kanak-kanak antara mereka yang membuat panggilan bukan kecemasan sedemikian. Mereka mungkin menggunakan telefon bimbit ibu bapa atau telefon di rumah bagi membuat panggilan 999, jelas ASP Shahir.

Sementara itu, adakalanya, pemanggil tidak pasti siapa lagi untuk dihubungi. ASP Shahir berkata warga tua yang tidak tahu agensi mana untuk dihubungi akan menelefon polis. Bagi kes sedemikian, para operator mungkin akan merujuk mereka kepada pihak yang betul.

Selain itu, ada juga individu yang menghubungi 999 bagi kecemasan perubatan. Bagi kes sedemikian, panggilan itu akan dirujuk kepada Pasukan Pertahanan Awam Singapura. Sungguhpun begitu, pihak polis menggesa orang ramai supaya menghubungi 995 sekiranya berlaku kecemasan perubatan.

TETAP SENTIASA BERSEDIA MENANGANI KECEMASAN

Apabila menerima panggilan kecemasan, para operator harus bersikap tenang ketika menangani para pemanggil yang dalam keadaan panik yang mungkin tidak dapat memberikan maklumat secara jelas.

Para operator menyalurkan maklumat kepada para pegawai polis yang bertugas supaya respons terbaik bagi sebarang insiden dapat diberikan. Maklumat yang diterima oleh para operator juga menentukan jumlah dan jenis sumber yang diperlukan.

AKIBAT BAGI PESALAH BERULANG

Ditanya mengenai langkah-langkah yang boleh diambil bagi memperbaiki keadaan panggilan gangguan yang sedia ada, ASP Shahir berkata bahawa pihak polis akan menasihati para individu yang secara tidak sengaja membuat panggilan bukan kecemasan, bagaimana untuk mengelakkan perkara itu daripada berulang.

Bagi individu yang tetap membuat panggilan gangguan, mereka mungkin diberi surat amaran, dikunjungi pegawai polis ataupun didakwa, tambah beliau.

Gambar para pegawai di Pusat Komand Operasi Polis. (Gambar: Jalelah Abu Baker)

Gambar para pegawai di Pusat Komand Operasi Polis. (Gambar: Jalelah Abu Baker)

Sementara itu, ASP Shahir menyeru orang ramai supaya menghubungi 999 atas sebab-sebab wajar supaya polis tidak diganggu daripada mengendalikan kecemasan sebenar.

"Kami menggesa orang ramai supaya menghubungi 999 hanya bila jenayah berlaku atau seseorang sedang melakukan jenayah berdekatan, serta jika seseorang cedera parah atau dalam keadaan bahaya," tambah beliau. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan